Sevilla, Juve terikat tanpa gol

Sevilla, Juve terikat tanpa gol

MILAN, 15 Sept – Gonzalo Higuain dan Sami Khedira mensia-siakan peluang ketika Juventus diikat tanpa jaringan oleh Sevilla pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara di Turin, kelmarin.

Juventus yang menerima kunjungan juara Liga Europa itu mensasarkan untuk meneruskan rentetan 17 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri di pentas Eropah dengan status sebagai calon juara.

Begitupun, di sebalik dominasi yang ditampilkan, tandukan Higuain pada babak kedua sekadar mampu menggegar palang Sevilla yang dikawal Sergio Rico untuk sekali gus menyaksikan juara Serie A Itali itu dihampakan oleh skuad bimbingan Jorge Sampaoli.

“Saya kecewa kerana kami terpaksa menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan kerana semua orang menjangkakan kami menang tiga atau empat kosong,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

Higuain (kiri) mencari ruang untuk menjaringkan gol semasa menentang Sevilla di Turin, kelmarin. – AFP
Higuain (kiri) mencari ruang untuk menjaringkan gol semasa menentang Sevilla di Turin, kelmarin. – AFP

“Kami bermain dengan baik sepanjang perlawanan dan kami juga hampir menjaringkan gol namun masih banyak kerja keras perlu dilakukan untuk meningkat.

“Kami mempunyai lima lagi perlawanan untuk mengesahkan laluan ke peringkat seterusnya, namun perlawanan ini adalah peringatan pada kejohanan ini, betapa kamu tidak boleh terlalu yakin.”

Sampaoli yang menggantikan pengurus Paris Saint-Germain, Unai Emery di Sevilla pada musim panas ini menjanjikan permainan corak serangan daripada kelab itu.

Mereka begitupun gagal untuk melunaskan janji itu namun dengan jelas, keputusan lebih memihak mereka dengan Sampaoli yang juga bekas jurulatih kebangsaan Chile mengakui pasukannya perlu meningkat jika mahu mara ke peringkat 16 terakhir.

“Kami masih memerlukan peningkatan di beberapa bahagian dengan paling utama ketika memberi tekanan dan menyerang.

“Setiap perlawanan kami perlu cuba untuk melakukan lebih baik. Begitupun, memulakan kejohanan dengan satu mata di Turin adalah baik untuk kami,” katanya. – AFP