Sevilla kekal peluang lakar hatrik

Sevilla kekal peluang lakar hatrik

PARIS, 15 April (AFP) – Sevilla mengekalkan peluang menjulang trofi kejuaraan Liga Europa tiga kali berturut-turut selepas menyingkirkan satu lagi kelab Sepanyol, Athletic Bilbao menerusi penentuan penalti, awal pagi tadi.

Pada aksi suku akhir kedua di laman sendiri itu, Sevilla bagaimanapun tewas 2-1 sekali gus memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti hasil kemenangan di tempat lawan, minggu lalu.

Keputusan di Ramon Sanchez Pizjuan menyaksikan kedudukan agregat terikat 3-3 sebelum Sevilla menang menerusi penalti 5-4.

Tanpa jaringan pada babak pertama, Bilbao terlebih dulu memecah kebuntuan gol menerusi Aritz Aduriz pada minit ke-57 namun disamakan Kevin Gameiro, dua minit kemudian.

Ketika permainan berbaki 10 minit, Raul Garcia menceriakan penyokong pelawat apabila menjaringkan gol pada minit ke-80 yang mengheret permainan ke penentuan penalti.

Penyerang Sevilla, Kevin Gameiro (tengah) meraikan kejayaan menumpaskan Athletic Club Bilbao dalam aksi timbal balik Liga Europa di stadium Ramon Sanchez Pizjuan Sevilla semalam. – AFP
Penyerang Sevilla, Kevin Gameiro (tengah) meraikan kejayaan menumpaskan Athletic Club Bilbao dalam aksi timbal balik Liga Europa di stadium Ramon Sanchez Pizjuan Sevilla semalam. – AFP

Sementara itu, penyerang Villarreal Cedric Bakambu meneruskan prestasi cemerlangnya apabila meledak dua lagi gol ketika membantu kelab itu menewaskan Sparta Prague 4-2.

Kemenangan di tempat lawan itu melengkapkan kemaraan satu lagi kelab Sepanyol dengan agregat 6-3. Juara 2009, Shakhtar pula melangkah bergaya ke peringkat empat terakhir selepas menewaskan Braga 4-0 di Lviv.

Gol-gol kelab Ukraine itu dijaringkan Darijo Srna pada minit ke-25 melalui sepakan penalti, Viktor Kovalenko pada minit ke-50 dan dua gol sendiri pemain Braga, Ricardo Ferreira pada kedua-dua babak permainan. Shakhtar mara dengan keputusan agregat 6-1.

Satu lagi tempat di separuh akhir diisi kelab Inggeris, Liverpool selepas menewaskan Borussia Dortmund 4-3 dalam perlawanan timbal balik di Anfield.

ARTIKEL YANG SAMA