Sevilla menang, Napoli seri

Sevilla menang, Napoli seri

PARIS, 8 Mei (AFP) – Dua gol Aleix Vidal memastikan juara bertahan, Sevilla menang 3-0 ke atas Fiorentina pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi.

Di Itali, Napoli menguasai sebahagian besar perlawanan peringkat yang sama ketika menentang Dnipro tetapi kelab kurang ternama Ukraine itu boleh berbangga apabila mencatat keputusan seri 1-1 dan beroleh kelebihan pada peringkat kedua.

Sevilla pula meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan di Eropah kepada sembilan perlawanan ketika menewaskan Fiorentina yang kalah kali pertama di gelanggang lawan dalam 13 perlawanan.

Kelab La Liga itu kini memburu gelaran Liga Europa buat kali keempat selepas menjulang trofi itu pada 2006, 2007 dan 2014. Mereka berada di depan pada minit ke-17 menerusi gol cantik menerusi Vidal.

Hasil larian pantas menerusi Machin Perez, Carlos Bacca meluru di hujung sebelah kiri kotak penalti untuk mengumpan bola kepada Vidal yang terus merembat masuk selepas memperdaya penjaga gol, Murara Neto.

Aleix Vidal (kiri) berjaya membolosi gawang Fiorentina dalam pusingan pertama separuh akhir Liga Europa di stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Seville semalam. – Reuters
Aleix Vidal (kiri) berjaya membolosi gawang Fiorentina dalam pusingan pertama separuh akhir Liga Europa di stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Seville semalam. – Reuters

Percubaan menerusi Jose Antonio Reyes menyusul tetapi tersasar sedikit ketika kelab Sepanyol itu mengasak untuk menambah gol.

Vidal kemudiannya menjaringkan gol kedua minit ke-52 dengan rembatan di kanan kotak penalti menewaskan Neto yang tersilap langkah.

Derita Fiorentina semakin perit apabila bekas penyerang PSG, Kevin Gameiro menambah gol ketiga ketika permainan berbaki 15 minit, dengan memanfaatkan sentuhan Vidal selepas Benoit Tremoulinas memulakan gerakan di sebelah kiri.

Sementara itu di Naples, Dnipro berjaya menafikan cengkaman tuan rumah pada babak pertama biarpun selepas kurang menguasai bola.

Pemain Sepanyol, David Lopez menjaringkan gol Napoli ketika empat minit separuh masa kedua sekali gus melegakan penyokong tuan rumah tetapi Dnipro membuat kejutan apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-81 menerusi Seleznyov pada minit ke-81.

ARTIKEL YANG SAMA