Sevilla ujian sebenar Real Madrid

Sevilla ujian sebenar Real Madrid

BARCELONA, 1 Mei (Reuters) – Real Madrid berjaya mengenepikan masalah kecederaan untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu La Liga Barcelona selain berjaya mencatat lebih 100 jaringan semusim tetapi ujian sebenar mereka akan hanya tiba esok apabila bertandang ke Sevilla.

Ketika jentera serangan Barca mencatat 102 gol dalam semua pertandingan setakat ini, Real pula mengatasi catatan kelab Catalan itu dalam saingan La Liga dengan 102 gol, lebih lima berbanding Barca.

Kejayaan Barca dalam aksi El Clasico bulan lalu meletakkan mereka di landasan terbaik untuk merangkul gelaran liga buat kali kelima dalam tempoh tujuh tahun.

Kemenangan itu membolehkan Barca mengatasi Real dengan kelebihan empat mata tetapi sejak kekalahan itu, Real menang semua enam perlawanan manakala Barca sekadar seri 2-2 dengan Sevilla.

Real sudah membuktikan kemampuan mereka walaupun kehilangan Luka Modric, Gareth Bale dan Karim Benzema akibat kecederaan.

Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengejar bola semasa menentang Celta Vigo dalam aksi La Liga di Stadium Balaidos di Vigo pada 26 April lalu. – AFP
Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengejar bola semasa menentang Celta Vigo dalam aksi La Liga di Stadium Balaidos di Vigo pada 26 April lalu. – AFP

Javier Hernandez pula tampil mempamerkan kehebatannya apabila meledak dua gol ketika pasukannya menang 4-2 ke atas Celta Vigo minggu lalu.

Kehadiran semula James Rodriguez sejak awal April selepas kerap diketepikan akibat kecederaan, memberi inspirasi kepada Real untuk menang 3-0 ke atas Almeria, kelmarin.

“Saya gembira bagi pihak James kerana dia berjaya menjaringkan gol. Begitu juga dengan Chicharito (Hernandez),” kata pertahanan Real, Pepe.

“Semua pemain kami sedia untuk bermain dan sudah membuktikan kemampuan. Real adalah kelab yang dipenuhi pemain berkualiti.

“Beberapa pemain kami tidak boleh diturunkan tetapi pemain yang menggantikan mereka tidak kurang hebatnya dan inilah dikatakan kualiti.”

Sementara itu, Barca yang akan menentang pasukan di kelompok bawahan, Cordoba malam esok, masih mengharapkan sentuhan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar.

Jumlah jaringan yang dilakar ketiga-tiga bintang itu sudah melebihi catatan gol dilakukan trio Messi, Samuel Eto’o serta Thierry Henry ketika muncul juara pada 2009.

ARTIKEL YANG SAMA