Sg. Sarawak jadi lebuh raya perkapalan 2019

Sg. Sarawak jadi lebuh raya perkapalan 2019

KUCHING, 9 Jun – Sungai Sarawak bakal menjadi lebuh raya utama perkapalan sebaik kerja-kerja penggorekan siap sepenuhnya menjelang 2019.

Projek bernilai RM360 juta dalam Rancangan Malaysia ke-11 itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai Februari tahun ini semasa melawat terminal Senari di sini.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) Rosli Saup berkata apabila siap, kapal kargo dan persiaran dari Semenanjung dan negara Asia boleh belayar terus ke Kuching.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas memberi taklimat kepada masyarakat perkapalan tempatan mengenai projek penggorekan dan manfaatnya.

“Kita bakal mempunyai terusan navigasi yang lebih dalam iaitu sembilan meter di bawah carta datum (air pasang surut sehingga 12 meter) sejauh 23.4 kilometer.

Sungai Sarawak bakal menjadi lebuh raya utama perkapalan sebaik kerja-kerja penggorekan siap sepenuhnya menjelang 2019. – Bernama
Sungai Sarawak bakal menjadi lebuh raya utama perkapalan sebaik kerja-kerja penggorekan siap sepenuhnya menjelang 2019. – Bernama

“Kapal tidak lagi perlu menunggu air pasang untuk belayar di Sungai Sarawak seperti sekarang,” katanya.

Rosli berkata ini boleh menjimatkan masa dan kos, selain menjamin keselamatan.

Namun katanya, pelabuhan itu mengenakan tarif baharu pelabuhan – Fi Penyelenggaraan Terusan’ pada kadar RM1.00 satu tan kargo atau setiap penumpang dalam kawasan terhad mulai 1 Jun 2016.

Beliau berkata fi itu dikenakan untuk menyelenggara terusan, terutama laluan kerja-kerja penggorekan dilaksanakan ketika ini.

Menurutnya fi itu terpakai untuk pergerakan kargo atau penumpang dalam negeri.

Tarif baharu itu adalah berdasarkan Peraturan (Dius, Kadar dan Caj (Pindaan) Lembaga Pelabuhan Kuching 2016. – Bernama