SGX lancar Indeks Tematik SGX

SGX lancar Indeks Tematik SGX

SINGAPURA, 1 Dis (Bernama) – Bursa Singapura (SGX) melancarkan Indeks Tematik SGX, satu set indeks ekuiti di bawah urus niaga indeksnya, Indeks SGX Edge.

Indeks SGX Edge, dilancar pada Oktober 2015, menawarkan perkhidmatan indeks menyeluruh untuk penerbit, pengurus aset dan pelabur di Asia, menurut bursa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SGX, Loh Boon Chye, berkata indeks berkenaan akan meningkatkan kekuatan sektor sedia ada SGX dan menyediakan profil bernilai bagi beberapa bidang paling rancak dalam pasaran sekuriti Singapura, yang menawarkan peluang untuk menambah kecairan.

Beliau berkata tema yang dilindungi oleh indeks ini dilengkapi usaha pendidikan SGX serta penyenaraian dan strategi sekuriti.

“Pelancaran ini adalah langkah penting yang menyokong keutamaan kami dalam memperkukuhkan perniagaan dan kami terus meneroka laluan baharu untuk meningkatkan capaian dan kefahaman pasaran kami,” katanya.

pg19_151202_b

Menurut bursa itu, Indeks SGX Edge akan meningkatkan keupayaan bursa tersebut bagi segmen utama profil yang lebih baik daripada pasaran sekuritinya dan meningkatkan keupayaan pengiraan yang membolehkan pelanggan mewujudkan indeks mengikut kesesuaian.

“Susulan itu Indeks Tematik SGX akan menawarkan set indeks ekuiti berdasarkan sektor hartanah, penjagaan kesihatan, mineral, minyak dan gas, serta maritim dan luar pesisir.

“Sektor ini secara tradisinya dipaparkan dengan jelas di seluruh pasaran sekuriti SGX dan menyumbang secara ketara kepada ekonomi Singapura,” menurutnya.

Menurutnya, 11 indeks baharu itu akan membantu membuat profil sekuriti pendasar dan menawarkan pandangan jauh mengenai risiko dan prestasi berkaitan sektor tersebut.

“Mereka akan meningkatkan lagi pemahaman mengenai peluang pelaburan dan memacu pulangan dalam pasaran ini,” menurutnya.

Indeks yang menyasarkan pasaran dana dagangan bursa (ETF) dalam Asia itu turut menyediakan penanda aras yang dipautkan kepada tema utama dalam Singapura dan menggalakkan penghasilan produk ETF yang dilabur dalam saham Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA