Shah Rukh Khan ditahan lagi kali ke-3

Shah Rukh Khan ditahan lagi kali ke-3

NEW DELHI, 12 Ogos – Superstar Bollywood Shah Rukh Khan menggunakan Twitter hari ini untuk meluahkan kemarahannya kerana ditahan oleh pihak berkuasa imigresen lapangan terbang AS buat kali ketiga, berkata pengalaman itu ‘benar-benar tidak menyenangkan’.

Kali terakhir Khan, 50, ditahan oleh pegawai imigresen di New York pada 2012, ia mencetuskan kegemparan di kalangan peminat India yang menuduh AS melakukan profil perkauman, dan mendorong Washington meminta maaf.

“Saya memahami sepenuhnya dan menghormati keselamatan dengan keadaan dunia sekarang, namun ditahan di imigresen AS setiap kali benar-benar tidak menyenangkan,” tulis Khan di Twitter selepas beliau ditahan di lapangan terbang Los Angeles.

“Apa yang menyeronokkan adalah ketika menunggu berjaya menangkap beberapa Pokemon.”

Tatkala berita penahanan Khan disiar di televisyen India, Penolong Setiausaha Negara AS Nisha Biswal dengan segera meluahkan rasa kesal.

“Maaf atas gangguan di lapangan terbang – malah diplomat Amerika diheret kerana pemeriksaan tambahan!” tulis Biswal di Twitter.

Washington sebelum ini menyangkal dakwaan mengatakan Khan dipilih disebabkan namanya menandakan beliau adalah seorang Muslim.

Seseorang dengan nama yang sama dilaporkan berada dalam senarai larangan terbang AS yang terdiri daripada 80,000 orang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA