Shah United FC beri saingan sengit

Shah United FC beri saingan sengit

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Kota Junior di ambang kejuaraan namun Shah United FC terus mengekori rapat apabila dua pasukan teratas Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 itu masing-masing mencatatkan kemenangan di perlawanan kesembilan mereka pada malam 26 Ogos lalu.

Kota Junior menang 5-0 ke atas Street United FT tetapi Shah United FC lebih menyerlah apabila mengetepikan cabaran pasukan di tempat ketiga, Arbisyam FC dengan catatan kemenangan bergaya 4-0 yang sekaligus menutup peluang Arbisyam FC merebut gelaran naib juara musim ini.

Kini mengumpul 27 mata maksimum, tiga mata di depan Shah United FC, kejuaraan seakan-akan pasti menjadi milik Kota Junior, melainkan keajaiban berlaku di perlawanan penutup pada malam 3 September ini iaitu Shah United FC berjaya mengalahkan Kota Junior dengan jaringan besar 19-0 atau 20-1 atau 21-2 atau seterusnya.

Petang ini, MS ABDB menghidupkan peluangnya mengekalkan tempat ketiga musim ini apabila menang 10-1 ke atas Pega Star FC di perlawanan kesepuluh dan terakhirnya untuk mengumpul 21 mata, 45 jaringan dan 28 bolos sekaligus menjatuhkan Arbisyam FC (18 mata, 35 jaringan dan 21 bolos) ke tangga keempat.

Walau bagaimanapun Arbisyam FC boleh merampas semula kedudukan tempat ketiga jika berjaya menjaringkan sebelas gol ke atas ketika menentang First Five FT pukul 9 malam ini di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Penjaga gol Shah United FC beraksi cemerlang dan berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam kemenangan 4-0 ke atas Arbisyam FC (hitam).
Penjaga gol Shah United FC beraksi cemerlang dan berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam kemenangan 4-0 ke atas Arbisyam FC (hitam).

Dalam satu lagi perlawanan petang ini, NFT menutup tirai aksinya musim ini dengan kemenangan bermakna, 4-3 ke atas Street United FT, kemenangan keduanya untuk mengumpul 6 mata, 34 jaringan dan 62 bolos, sekaligus memanjat dua anak tangga ke tangga kesembilan, memintas BIO FT dan First Five FT.

BIO FT sudah menamatkan kempennya dengan catatan 6 mata, 31 jaringan dan 58 bolos, sementara First Five FT dengan catatan 6 mata, 31 jaringan dan 45 bolos masih memiliki baki satu perlawanan iaitu menentang Arbisyam FC malam ini.

Dengan kekalahan yang mereka alami minggu ini, Street United FT dan Pega Star FC masing-masing kekal di tempat ketujuh dan kelapan, dengan 9 mata. Street United FT memiliki 30 jaringan dan 40 bolos manakala Pega Star FC mencatat 28 jaringan dan 59 bolos.

Satu lagi perlawanan turut berlangsung malam ini antara dua pasukan di tempat kelima dan keenam iaitu PBDB FT dan Rizfiz FT, masing-masing mengumpul 15 mata setakat perlawanan kesembilan.

Boleh dikatakan perlawanan antara dua pasukan itu menjadi penentu muktamad tempat kelima dan keenam musim ini. Sebelum perlawanan malam ini, PBDB FT sudah mencatat 38 jaringan dan 36 bolos manakala Rizfiz FT mempunyai 29 jaringan dan 34 bolos.

ARTIKEL YANG SAMA