Shah United FC raih mata penuh

Shah United FC raih mata penuh

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Hanya satu gol menjadi penentu perlawanan sengit antara naib juara musim lalu, Shah United FC dengan tempat ketiga 2015, MS ABDB yang berlangsung malam tadi di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Jika tahun lalu kedua-dua pasukan terikat dalam pesta lapan gol pada minggu terakhir Liga Futsal Brunei (BFL) 2015, aksi malam tadi menyaksikan gol tunggal Shah United FC menerusi jaringan Abdul Khabir pada minit ke-26 sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penting dalam usahanya mencabar kejuaraan musim ini.

Pada perlawanan di sebelah petang, PBDB FT bangkit daripada ketinggalan 2-3 pada babak kedua untuk menang 8-4 ke atas NFT U19, sementara Pega Star FC menjaringkan dua gol terakhir perlawanan untuk mengejutkan Arbisyam FC 6-5. Pada aksi di sebelah pagi pula Street United FT menewaskan First Five FT 6-3.

Juara bertahan, Kota Junior turut beraksi kelmarin iaitu dalam perlawanan terakhir malam tadi tetapi terpaksa dihentikan lima minit selepas babak kedua bermula pada ketika ia mendahului Rizfiz FT 6-3 akibat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Minggu ketiga Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 turut dijalankan pada Jumaat, 13 Mei lalu dengan catatan keputusan PBDB FT menang 8-1 ke atas BIO FT dan First Five FT mengalahkan NFT U19 dengan jaringan 5-3.

PBDB FT yang mencatat dua kemenangan minggu ini naik ke persada liga dari tempat ketujuh dengan 9 mata dan +10 perbezaan gol selepas empat permainan, di depan Shah United FC yang kekal di tempat kedua dengan sembilan mata dan +9 perbezaan gol daripada tiga perlawanan.

Kota Junior pula jatuh ke tangga ketiga dari tempat teratas dengan enam mata dan +12 perbezaan gol daripada dua permainan, sementara MS ABDB jatuh satu anak tangga ke tempat keempat dengan enam mata dan +3 perbezaan gol selepas beraksi tiga kali.

Kemenangan mengejutkan ke atas Arbisyam FT membolehkan Pega Star FT melonjak satu anak tangga ke tempat kelima dengan enam mata, 15 jaringan dan 15 bolos daripada empat permainan, sementara Street United FT naik dua anak tangga ke tangga keenam dengan enam mata, 13 jaringan dan 13 bolos, juga daripada empat permainan.

Arbisyam FC jatuh ke tempat ketujuh dari kedudukan keempat dengan tiga mata dan +3 perbezaan gol selepas baru bermain dua kali, diikuti Rizfiz FT yang gugur tiga anak tangga dengan tiga mata dan +1 perbezaan gol, dari dua permainan. First Five FT juga dengan tiga mata tetapi -7 perbezaan gol daripada tiga perlawanan di tempat kesembilan.

Dua tangga terbawah dihuni NFT U-19 yang sebelum ini di tempat kesembilan, masih belum memungut sebarang mata daripada tiga permainan dengan catatan -10 perbezaan gol, dan BIO FT kekal di tempat tercorot selepas empat kali berturut-turut dengan -21 perbezaan gol.

ARTIKEL YANG SAMA