Shah United pesta gol

Shah United pesta gol

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Shah United FC merampas semula kedudukan kedua Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 sebagai amaran persaingan sengit kepada MS ABDB sehingga ke pertemuan penentuan naib juara pada 2 Jun nanti selepas menang 8-2 ke atas Syahkampong.

Perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah berakhir seimbang, 1-1 pada separuh masa pertama dengan Shah United mendahului menerusi jaringan Md Safwan pada minit ke-5, sebelum disamakan oleh Md Zainul Ariffin dua minit kemudian.

Md Arif Haji Eisa menjaringkan gol kedua Shah United empat minit selepas rehat disusuli enam gol lagi dari minit ke-30 hingga 39, yang dijaringkan olehAbdul Muiz (minit ke-30 & 31), Awangku Md Nazirul Mubin (minit ke-34), Awangku Md Hafiz (minit ke-37 & 39) dan Md Ulfi (Minit ke-38).

Pada kedudukan 8-1 dan beberapa saat saja lagi perlawanan akan ditamatkan, Md Khairul Anwar sempat menambah jaringan buat Syahkampong untuk memuktamadkan keputusan kepada 8-2.

Shah United dan MS ABDB kini sama-sama mengumpul 24 mata dari 10 perlawanan, dengan Shah United FC mempunyai kelebihan 67 jaringan dan 25 bolos berbanding 55 jaringan dan 22 bolos dimiliki MS ABDB.

Aksi antara Syahkampong (hijau) dengan Shah United di Dewan Serbaguna, KSNHB semalam.
Aksi antara Syahkampong (hijau) dengan Shah United di Dewan Serbaguna, KSNHB semalam.

Perlawanan penentuan 2 Jun nanti bukan sahaja menentukan tempat kedua tetapi turut menyebabkan pasukan yang tewas dalam perlawanan itu jatuh ke kedudukan keempat memandangkan Arbisyam FC di tempat keempat setakat ini berkemungkinan besar menang ke atas pasukan tercorot, Silveredz FT, malam ini (Ahad).

Jika Arbisyam FC mengatasi Silveredz FT, Arbisyam akan menduduki tangga kedua dengan 25 mata, satu mata di atas Shah United dan MS ABDB.

Hanya seri antara kedua-dua pasukan itu akan memastikan tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Shah United dan MS ABDB, berbekalkan kelebihan jaringan iaitu 67 gol (Shah United) dan 55 gol (MS ABDB), melainkan Arbisyam (39 gol setakat ini) mencipta rekod jaringan ke atas Silveredz.

Peluang Shah United dan MS ABDB memintas Kota Junior di puncak liga agak tipis tetapi tidak mustahil, jika kedua-duanya dapat menjaringkan banyak gol pada perlawanan akhir nanti, sambil mengharapkan Street United mengalahkan Kota Junior pada 10 Jun nanti..

Dengan Kota Junior sudah menjaringkan 77 gol dan mengumpul 27 mata, maka jarak jaringan Shah United FC dengan Kota Junior setakat ini adalah 10 gol, manakala MS ABDB agak jauh iaitu 22 gol, membuatkan peluang lebih terbuka buat Shah United, iaitu dengan jaringan lebih 10 gol ke atas MS ABDB sambil berharap Kota Junior gagal menjaringkan gol ketika menentang Street United nanti.