Shahira akhirnya temui ajal

Shahira akhirnya temui ajal

LANGSA, Indonesia, 24 Mei (AFP) – Di bawah pokok-pokok pisang yang bergoyang-goyang, tidak ada apa-apa melainkan beberapa tumbuhan untuk menandakan tempat berehat Shahira Bibi, 3 tahun dan kengerian minggu-minggu terakhir kehidupan singkatnya di lautan di bot penghijrah.

Apabila anak kecil perempuan Rohingya dari Myanmar akhirnya diselamatkan dari kapal yang karam di perairan wilayah barat Aceh, Indonesia, badannya telah pun kejang dan beratnya tidak kurang dari berat anak damit berusia enam bulan.

Kira-kira 100 orang telah pun mati di atas kapal apabila pertempuran berlaku antara Rohingya dan penghijrah Bangladesh kerana catuan makan dan air yang tidak seberapa yang ditinggalkan selepas terdampar beberapa minggu.

Ketika pertempuran bertambah teruk bot mulai karam – tetapi nelayan-nelayan terlihat penghijrah yang dalam keadaan terdesak di perairan Aceh tepat pada waktunya, dan membawa mereka ke pesisir pada 15 Mei. Shahira telah dibawa ke hospital tetapi pada ketika itu dia sudah pun sakit teruk dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pasukan perubatan untuk menyelamatkannya.

Kematiannya adalah kisah tragik terbaru dari krisis hijrahan yang telah menyaksikan lebih 3,500 orang pelarian tiba di Indonesia, Thailand dan Malaysia dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Gambar fail bertarikh 19 Mei 2015 menunjukkan Shahira Bibi, ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah hospital di Langsa dalam wilayah Aceh dengan ditemani ibunya Mimi dan kakaknya Asma. – AFP
Gambar fail bertarikh 19 Mei 2015 menunjukkan Shahira Bibi, ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah hospital di Langsa dalam wilayah Aceh dengan ditemani ibunya Mimi dan kakaknya Asma. – AFP

“Jauh di sudut hati saya, saya sangat sedih,” ibunya, Mimi memberitahu AFP dengan menceritakan bagaimana dia terus menerus menangis sejak kehilangan anak perempuannya Rabu lalu. Kini dia cuba untuk terus tabah demi seorang lagi anak perempuannya, Asma, empat tahun yang juga berada di bot itu.

“Jika saya nampak sedih, Asma akan menangis, justeru itu saya ketawa bersamanya,” kata Mimi, 25 tahun. Seperti beribu-ribu orang Islam Rohingya yang lari dari penganiayaan Myanmar yang agama rasminya adalah agama Buddha, keluarga itu telah berusaha pergi ke Malaysia, sebuah negara mewah, tempat suami Mimi bekerja.

Tetapi tindakan oleh Thailand, yang mana ramai ditahan sebelum membuat perjalanan darat menuju Malaysia, laluan penyeludupan orang yang telah diwujudkan dan bot itu membawa keluarga itu dan beratus-ratus orang lagi ditinggalkan oleh krewnya, Memburukkan lagi kepayahan ini, bot itu tidak diterima oleh Thailand dan Malaysia ketika perjalanan dahsyat, di bawah dasar tidak mahu bertolak ansur yang mana rantau itu telah berlembut di tengah kemarahan antarabangsa.