Shairan Huzani dilantik pengarah Urusan baru Shell Malaysia

Shairan Huzani dilantik pengarah Urusan baru Shell Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Shell Malaysia melantik Shairan Huzani Husain sebagai Pengarah Urusan baharu bagi Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 Sept.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Azman Ismail, yang melepaskan jawatan itu selepas berkhidmat dengan syarikat berkenaan selama 30 tahun, kata Shell Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Shairan, penerima biasiswa Shell, memulakan kerjaya bersama KPMG UK sebelum menyertai Shell Malaysia.

Beliau memegang pelbagai jawatan kewangan di bahagian kimia, kewangan korporat dan perbendaharaan sebelum dilantik ke jawatan lebih tinggi dan berpejabat di Miri.

“Shairan kemudiannya berpindah ke India sebagai sebahagian pasukan perintis yang mewujudkan kehadiran Shell di sana. Beliau kemudiannya pulang dan bekerja dengan pasukan Jualan dan Operasi Runcit Malaysia, disusuli jawatan global di Rangkaian Runcit,” katanya.

Ia berkata pengalaman itu mendedahkan beliau kepada pelbagai budaya dan ciri pasaran berbeza, yang membantunya mengetuai pasukan Bekalan dan Pengedaran Kawasan Mediterranean yang meliputi Turki, Itali dan Slovenia, dari pusat operasinya di Istanbul. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA