Shanghai kejutkan juara CSL

Shanghai kejutkan juara CSL

SHANGHAI, 16 Ogos – Dua gol daripada bekas penyerang Inter Milan dan Newcastle United Obafemi Martins menyaksikan larian pendahulu Liga Super China (CSL), Guangzhou Evergrande terhalang dengan kekalahan 2-1 kepada pasukan tempat ketiga Shanghai Shenhua.

Tuan rumah mendahului selepas hanya lima minit apabila Martins menyempurnakan hantaran menarik Giovanni Moreno dengan mengelecek untuk melepasi kawalan sebelum merembat rendah ke penjuru bawah. Evergrande yang diuruskan oleh bekas jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari, tidak lama untuk menyamakan kedudukan.

Penyerang antarabangsa China Gao Lin menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian dari sudut sukar selepas diasak bek tengah Shenhua Tao Jin dan penjaga gol Li Shuai.

Satu serangan oportunis sebelum separuh masa pertama menyaksikan Martins menjaringkan gol kedua permainan untuk kemenangan pertama Shenhua menentang Evergrande sejak 2009.

Media tempatan melaporkan Scolari muncul dari bilik persalinan dengan muka masam selepas sidang media berakhir.

“Shenhua menjaringkan gol daripada dua kesilapan, tetapi walaupun kami mewujudkan banyak peluang pada babak kedua, saya menyesal untuk mengatakan lawan kami berhak untuk menang perlawanan ini,” Scolari memberitahu wartawan yang menunggu.

Walaupun begitu, pemenang Liga Juara-Juara Asia itu berada di landasan untuk menjulang kejuaraan keenam Liga Super China berturut-turut dengan kelebihan lapan mata di depan tempat kedua Jiangsu Suning selepas lapan perlawanan.

Suning mengekalkan harapan tipis kejuaraan dengan kemenangan 2-1 di Changchun Yatai. Kedua-dua gol dijaringkan pada separuh masa pertama melalui pertahanan Australia Trent Sainsbury dan penyerang Brazil, Alex Teixeira. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA