Sharapova akan buat pengumuman penting

Sharapova akan buat pengumuman penting

LOS ANGELES, 7 Mac (AFP) – Maria Sharapova akan membuat pengumuman penting dalam sidang media yang dijadualkan hari ini, yang antara lain mencetuskan persoalan mengenai masa depannya dalam sukan tenis.

Bintang tenis Russia itu hanya beraksi dalam tiga perlawanan Jelajah WTA sejak lapan bulan lalu selepas dihimpit pelbagai masalah kecederaan dan tidak turun ke gelanggang secara kompetitif sejak tewas kepada Serena Williams di suku akhir Terbuka Australia, Januari lalu.

Pemain berusia 28 tahun dan menduduki ranking ketujuh dunia itu menarik diri daripada beraksi di Kejohanan Indian Wells akibat kecederaan lengan kiri.

Tahun lalu, Sharapova terlepas aksi di Terbuka Amerika Syarikat (AS) akibat kecederaan kaki kanan sekali gus merencatkan jadualnya bagi keseluruhan kempen 2015.

Bintang tenis wanita, Maria Sharapova akan membuat pengumuman penting mengenai masa depannya. – AFP
Bintang tenis wanita, Maria Sharapova akan membuat pengumuman penting mengenai masa depannya. – AFP

Sharapova ketika ini terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan di luar gelanggang dan antara yang paling diingati ialah perniagaan manisan dikenali “Sugarpova.”

Pernah memenangi pingat perak di temasya Olimpik pada 2012 di London, dia turut memiliki 35 kejayaan WTA dan muncul antara 10 pemain wanita yang pernah menjuarai kesemua gelaran Grand Slam.

Pada 2004, Sharapova menjuarai Wimbledon diikuti Terbuka AS pada 2006, Terbuka Australia 2008 serta Terbuka Perancis pada 2012 dan 2014.

Begitupun, di sebalik kejayaan yang diraih, jelitawan tenis ini sedang diganggu dengan pelbagai siri kecederaan terutama di bahagian bahunya.

ARTIKEL YANG SAMA