Sharapova akan kembali ke gelanggang

Sharapova akan kembali ke gelanggang

LAUSANNE, Switzerland,5 Okt – Bintang tenis Russia, Maria Sharapova menggambarkan pengurangan hukuman gantung selama dua tahun susulan kesalahan doping, semalam sebagai ‘hari paling menggembirakan’ dalam hidupnya.

Jelitawan tenis itu juga pantas mensasarkan kepulangan semula ke gelanggang tenis pada April tahun depan.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memendekkan penggantungan Sharapova selama 15 bulan dengan mengatakan dia bukan ‘mengambil doping dengan niat’ selepas pemain berusia 29 tahun itu didapati positif atas penggunaan meldonium ketika Terbuka Australia, Januari lalu.

Gambar fail pada 7 Mac 2016 menunjukkan Sharapova bercakap mengenai kegagalannya dalam menjalani ujian doping di Terbuka Australia ketika sidang media di Los Angeles. Mahkamah tertinggi sukan telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman dua tahun Sharapova kepada 15 bulan. – AP
Gambar fail pada 7 Mac 2016 menunjukkan Sharapova bercakap mengenai kegagalannya dalam menjalani ujian doping di Terbuka Australia ketika sidang media di Los Angeles. Mahkamah tertinggi sukan telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman dua tahun Sharapova kepada 15 bulan. – AP

“Saya mengharungi hari paling sukar sepanjang karier saya pada Mac lalu, apabila saya mendapati mengenai penggantungan saya, dan hingga kini, satu daripada hari paling menggembirakan, apabila saya mengetahui saya boleh kembali beraksi pada April,” kata Sharapova yang pernah memenangi 35 gelaran WTA dan mengaut lebih AS$36 juta hadiah kemenangan.

Berdasarkan kepada kepulangannya semula pada April selepas dia didapati bersalah pada Januari, ini bermakna secara teori dia boleh kembali beraksi di Grand Slam Terbuka Perancis yang dijadual pada Mei-Jun tahun depan.

Sharapova yang tampak ‘ganas’ di atas gelanggang, berminda perniagaan dan glamor kehilangan hampir segala-galanya selepas didapati bersalah dan digantung selama dua tahun oleh tribunal bebas yang dilantik Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) sebelum membuat rayuan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA