Sharapova digantung 2 tahun, bakal buat rayuan

Sharapova digantung 2 tahun, bakal buat rayuan

LONDON, 9 Jun – Bintang tenis Rusia, Maria Sharapova, akan membuat rayuan ke atas hukuman penggantungan selama dua tahun yang dikenakan ke atasnya akibat kesalahan doping yang dilihat akan menamatkan kerjaya gemilang salah seorang atlet paling berprofil tinggi di dunia itu.

Sharapova, 29, diuji positif menggunakan bahan terlarang, meldonium ketika Terbuka Australia, Januari lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) berkata “Tribunal Bebas” sudah “mendapati Maria Sharapova mengakui melanggar peraturan doping” dan akibatnya “hilang kelayakan dan dikenakan tempoh tidak layak bermain selama dua tahun, bermula pada 26 Januari, 2016.”

Jelitawan tenis itu kemudian mengkritik penggantungan itu sebagai “keras dan tidak adil’ menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam akaun Facebook miliknya.

“Sekali pun tribunal membuat kesimpulan dengan betul yang saya tidak sengaja melanggar peraturan anti doping, saya tidak boleh menerima penggantungan dua tahun yang tidak adil dan keras,” kata Sharapova.

Gambar fail – Sharapova ketika bercakap pada sidang media pada 7 Mac lepas. – AFP
Gambar fail – Sharapova ketika bercakap pada sidang media pada 7 Mac lepas. – AFP

“Tribunal yang anggotanya dipilih oleh ITF, bersetuju bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dengan sengaja, tetapi mereka tetap menghalang saya daripada bermain tenis selama dua tahun.

“Saya akan segera membuat merayu atas penggantungan kepada CAS, Mahkamah Timbang Tara Sukan,” katanya.

Sharapova turut membidas ITF kerana menghabiskan “begitu banyak masa dan sumber dalam usaha untuk membuktikan saya secara sengaja melanggar peraturan anti doping” sebelum menambah “tribunal membuat kesimpulan saya tidak menggunakannya.”

Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu gagal dalam ujian doping pada 26 Januari lalu dan didakwa melanggar peraturan penggunaan bahan terlarang pada 2 Mac.

Dalam sidang media penuh pada di Los Angeles beberapa hari kemudian, dia kemudian mengakui mengambil meldonium namun berkata dia tidak menyedari ia berada dalam senarai bahan terlarang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA