Sharapova gagal ujian doping

Sharapova gagal ujian doping

LOS ANGELES, 8 Mac (AFP) – Juara lima kali Grand Slam, Maria Sharapova semalam mengumumkan beliau gagal dalam ujian doping di Terbuka Australia dan berkata beliau tidak pasti apakah hukuman yang akan dihadapi akibat melakukan ‘kesilapan besar’ itu.

Pemain nombor satu dunia dari Rusia itu berkata perubahan dalam senarai bahan larangan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) untuk tahun 2016 menjadi punca utama kepada keputusan positif itu, yang mana beliau akan ‘digantung sementara’ oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa.

Pencipta pakaian sukan Amerika Syarikat, Nike berkata mereka sedih dan terkejut dengan berita itu.

“Kami telah membuat keputusan untuk menggantung hubungan kami dengan Maria sementara siasatan masih diteruskan.”

Sharapova berkata, ujian yang dilakukannya itu positif dadah jenis Meldonium, bahan yang sudah diambilnya sejak 2006, namun ia baharu saja ditambah dalam senarai bahan larangan WADA pada tahun ini.

Sharapova ketika bercakap pada sidang akhbar di pusat bandar Los Angeles, California semalam dan mengumumkan beliau gagal ujian doping di Terbuka Australia. – Reuters
Sharapova ketika bercakap pada sidang akhbar di pusat bandar Los Angeles, California semalam dan mengumumkan beliau gagal ujian doping di Terbuka Australia. – Reuters

Katanya, dia tidak menyemak senarai larangan yang baharu itu sebelum meneruskan pengambilan bahan larangan berkenaan.

“Saya gagal ujian itu dan saya bertanggungjawab,” kata Sharapova dalam satu sidang media di Los Angeles.

“Saya melakukan kesilapan besar. Saya mengecewakan peminat. Saya mengecewakan sukan yang sudah saya ceburi sejak berusia empat tahun ini dan gemari ini.

“Saya tahu akan menanggung akibatnya dan saya tidak mahu menamatkan kerjaya saya dengan cara sebegini – dan saya benar-benar berharap agar dapat diberi peluang sekali lagi untuk bermain.”

Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) mengesahkan ujian ke atas bekas pemain nombor satu dari Russia itu didapati positif pada 26 Januari 2016 dan Sharapova menerima laporan itu ketika dimaklumkan, 2 Mac lalu.

“Sharapova akan digantung sementara bermula 12 Mac ini, sementara menunggu keputusan kes itu,” kata badan induk tenis dunia itu.

Sharapova berkata, dia bekerjasama dengan ITF dan belum mengenal sejauh mana sekatan yang akan dihadapinya.

Peguamnya, John Haggerty, berkata ujian positif boleh membawa kepada larangan sehingga empat tahun, tetapi ia tertakluk kepada keadaan dan mungkin hukuman boleh dikurangkan.

Ketua Tenis Persekutuan Rusia, Shamil Tarpischev, memberitahu agensi berita, TASS, beliau percaya Sharapova masih mempunyai peluang untuk bermain di Sukan Olimpik Rio pada bulan Ogos nanti.

ARTIKEL YANG SAMA