Sharapova gemuruh beraksi semula

Sharapova gemuruh beraksi semula

LOS ANGELES, 11 Okt – Bintang tenis jelita, Maria Sharapova kembali memasuki gelanggang tenis buat pertama kali selepas ujian positif dadah di Terbuka Australia dengan mengukir senyuman kepada penonton yang menyaksikan majlis amal World Team Tennis Smash Hitsdi di Caesars Palace, di sini, semalam.

Perlawanan amal itu disertai beberapa lagi bekas jagoan temis dunia dengan objektif membantu mengumpul dana bagi Yayasan AIDS Elton John.

Tempoh penggantungan bintang Russia dikurangkan daripada 24 bulan kepada 15 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan, Selasa lalu dan dia dijangka dibenarkan kembali menyertai sukan kompetitif pada April depan.

Pada majlis itu, Sharapova yang beraksi dalam dua perlawanan beregu dengan yang pertama bersama pasangan muda dari Amerika Syarikat, Taylor Johnson, tewas kepada Martina Navratilova dan Liezel Huber.

Sharapova ketika beraksi pada perlawanan persahabatan acara amal di Las Vegas kelmarin. – AFP
Sharapova ketika beraksi pada perlawanan persahabatan acara amal di Las Vegas kelmarin. – AFP

Pemain berusia 29 tahun itu mengakui dia merasa gemuruh ketika beraksi bersama pasangannya yang baharu berusia 16 tahun, Johnson.

“Ia satu situasi yang besar untuknya (Johnson) dan juga saya, saya tidak berada di gelanggang sejak kebelakangan ini, bagi kami berdua, ia adalah sesuatu yang menyeronokkan dan kelakar, ” kata Sharapova.

Sharapova kemudiannya berpasangan dengan legenda Amerika Syarikat, John McEnroe pada perlawanan final menentang Navratilova dan Andy Roddick. Sharapova tidak beraksi sejak didapati positif meldonium yang diharamkan mulai 1 Januari 2016 ketika menyertai Terbuka Australia, Januari lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA