Sharapova mudah tewaskan lawan

Sharapova mudah tewaskan lawan

MELBOURNE, 20 Jan – Juara lima kali Grand Slam, Maria Sharapova mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia selepas menewaskan Aliaksandra Sasnovich, pagi tadi.

Pemain dari Russia berusia 28 tahun itu menewaskan lawan di ranking 105 dunia dari Belarus itu 6-2, 6-1 di Arena Rod Laver.

Pernah muncul juara pada tahun 2008 dan naib juara sebanyak tiga kali, Sharapova sering muncul sebagai pilihan meskipun sejarah memperlihatkan pilihan kedua Simona Halep tersungkur di tangan pemain biasa kelmarin.

Kemenangan itu meletakkan dirinya berada di landasan tepat untuk mara ke pertembungan kelompok lapan terbaik menentang Serena Williams yang pernah menewaskan dirinya di pentas final tahun lalu.

Maria Sharapova ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. - Reuters
Maria Sharapova ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – Reuters

“Gembira kerana dapat kembali bermain di gelanggang ini selepas prestasi yang baik tahun lalu,” kata Sharapova.

“Dia adalah lawan yang saya belum pernah bersaing dengannya dan pastinya ia sedikit rumit. Namun saya gembira kerana berjaya mara ke pusingan seterusnya.”

Sharapova dijadual berdepan sama ada pemain dari Amerika Syarikat, Lauren Davis yang mencatat kemenangan 7-6 (7) ke atas Magdalena Rybarikova sebelum lawannya dari Slovakia itu mengambil keputusan menarik diri. – Agensi