Sharapova sahut cabaran

Sharapova sahut cabaran

MELBOURNE, 14 Jan (Reuters) – Juara Grand Slam, Maria Sharapova mengisytiharkan dirinya cergas sepenuhnya dan bersedia bagi saingan Terbuka Australia minggu depan selepas persediaannya terganggu kerana kecederaan lengan.

Pemain nombor lima dunia dari Russia itu terpaksa menarik diri daripada kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu lalu kerana kecederaan, mencetuskan kebimbangan dia mungkin terlepas Grand Slam pertama tahun ini yang akan bermula Isnin depan.

Juara Terbuka Australia 2008 dan naib juara tahun lalu itu akan tiba di Melbourne lebih awal untuk berlatih berbanding terbabit dalam kejohanan pemanas badan yang berlangsung di seluruh negara minggu ini.

Sharapova semasa berlatih untuk Terbuka Australia di Melbourne Park, semalam. – Reuters
Sharapova semasa berlatih untuk Terbuka Australia di Melbourne Park, semalam. – Reuters

“Kecederaan ini menjadi sedikit halangan tetapi perkara yang penting ialah saya melalui tiga hari yang bagus dan semua orang bermain manakala saya mempunyai banyak gelanggang yang boleh digunakan,” kata Sharapova hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang terlepas kejohanan Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu kerana kecederaan kaki, adalah antara empat pemain utama yang diragui bagi kejohanan di Melbourne itu kerana kecederaan.

Pemain nombor satu dunia Serena Williams (lutut), Simona Halep (tumit) dan Garbine Muguruza (kaki) semuanya menarik diri daripada perlawanan minggu lalu tetapi Sharapova berkata memang mudah difahami pemain akan bimbang menjelang kejohanan utama.