Sharapova tarik diri kejohanan Brisbane

Sharapova tarik diri kejohanan Brisbane

BRISBANE, 5 Jan (AFP) – Juara bertahan, Maria Sharapova, terpaksa menarik diri daripada aksi pembukaan kejohanan Antarabangsa Brisbane akibat kecederaan di bahagian lengan kirinya.

Pemain nombor empat dunia dan pilihan ketiga kejohanan itu berkata, ‘tangannya tercedera pada sesi latihan beberapa hari lalu’ dan terpaksa menarik diri bagi mengelak ia bertambah serius.

“#BrisbaneTennis adalah satu kejohanan yang istimewa buat saya, lebih-lebih lagi selaku juara bertahan. Semoga kita akan bertemu lagi pada tahun depan,” katanya menerusi laman sosial peribadi Twitternya.

Bintang Russia berusia 28 tahun itu dijadual bertemu rakan senegaranya, Ekaterina Makarova pada pusingan pertama, hari ini.

Maria Sharapova tidak dapat mempertahankan kejuaraannya apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan. – Reuters
Maria Sharapova tidak dapat mempertahankan kejuaraannya apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan. – Reuters

Sharapova bergelut dengan kecederaan pada separuh kedua musim tahun 2015 dengan kecederaan yang dialaminya pada bahagian kaki memaksa dia terlepas aksi Terbuka Amerika Syarikat.

Malah, dia juga menarik diri daripada perlawanan kemunculan semulanya di Terbuka Wuhan, China, September lalu, akibat cedera juga di bahagian lengan dengan dia hanya kembali beraksi pada aksi Final Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) di Singapura, hujung Oktober lalu.