Sharapova terpaksa tunduk

DOHA, 13 Feb – Juara Grand Slam sebanyak lima kali, Maria Sharapova mengalami kekalahan yang mengejutkan ketika pusingan pertama setelah tersingkir dalam tiga set perlawanan menentang Monica Niculescu di Terbuka Qatar, semalam.

Niculescu, pemain yang berasal Romania itu, berada di kedudukan 92 dunia, dengan jarak kedudukan 51 di belakang pemain Rusia, Sharapova, menang dengan pungutan mata 4-6,6-4,6-3.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama lebih dua jam setengah itu, Sharapova telah melakukan 52 mata kesilapan berbanding 17 mata dari Niculescu.

Dalam persaingan penuh sengit itu, Sharapova terpaksa bergelut untuk mengatasi gaya permainan Niculescu,yang banyak melakukan pukulan tajam.

Bekas pemain nombor satu dunia dan pemenang dua kali di Doha, Sharapova telah mendapat wildcard untuk menyertai kejohanan yang menjadi salah satu tarikan besar kejohanan itu.

“Saya telah melakukan tugas yang baik dalam memenangi rally terpanjang, meskipun bukan itu yang sebenarnya yang saya mahukan. Secara fizikalnya saya berasa bagus, akan tetapi akhirnya saya menjadi tidak terkawal dan mula melakukan banyak kesilapan,” kata Sharapova sejurus perlawanan.

Ia merupakan kemunculan pertama pemain berusia 30 tahun itu di Doha sejak tahun 2013 dan perlawanan pertamanya sejak mengalami kekalahan kepada Angelique Kerber pada pusingan ketiga di Terbuka Australia bulan lalu.

Sharapova kembali ke gelanggang tenis April lalu selepas diharamkan selama 15 bulan setelah gagal dalam ujian doping.

Niculescu berasa sangat gembira dengan mengatakannya sebagai “kemenangan yang sangat baik” dan “perlawanan yang sangat sengit.”

Katanya lagi, “Saya gembira dengan cara saya bermain yang unik dan menganggap pukulan depan sebagai senjata.” – AFP