Shark Hunter bermula garang

Shark Hunter bermula garang

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Dis – Pasukan Shark Hunter menunjukkan prestasi yang mengagumkan untuk mengalahkan Syarikat Seri Ladang 64-57 manakala Hot Shot menang tipis ke atas GHK Motors dengan kelebihan satu mata dalam perlawanan pembukaan di Pertandingan Piala Bola Keranjang Seria malam kelmarin.

Selepas permainan pembukaan ditangguhkan akibat hujan lebat pada malam sebelumnya, pasukan Shark Hunter yang mempunyai pemain-pemain warganegara Filipina semalam bermain dengan aksi hantaran yang menarik, memecahbelahkan pertahanan Syarikat Seri Ladang untuk mendahului 23 berbalas 16 di suku pertama.

Syarikat Seri Ladang di suku kedua yang dibarisi pemain Wee koon Seng mempamerkan persembahan baik pada malam itu untuk membantu pasukannya mengurangkan jurang mata kepada 27–24.

Seng memperoleh mata permainan tertinggi pada perlawanan iitu dengan menjaringkan 19 mata.

Aksi pembukaan Piala Bola Keranjang Seria.
Aksi pembukaan Piala Bola Keranjang Seria.

Namun Shark Hunter mengakhiri suku kedua dengan mendahului mata dengan 37–27 melalui pemain mereka Mangaya Tibang. Mata tersebut kekal hingga ke suku ketiga dan keempat permainan.

Jurulatih Shark Hunter Alex Madeja memberitahu Media Permata selepas perlawanan bahawa pasukannya akan berentap untuk menjadi juara pertandingan ini, selepas menduduki tempat ketiga bersama pasukan lain semasa Piala Hari Keputeraan ke-69 Tahun pada bulan Oktober lepas.

Dalam perlawanan lain, Pasukan Hot Shot menang ke atas Pasukan GHK Motors yang mempunyai barisan pemain-pemain kebangsaan dengan mata 74 berbalas 73.

Sepuluh pasukan menyertai piala kali ini bermula di peringkat kumpulan dan perlawanan peringkat kalah-mati akan bermula pada 16 Disember ini dan peringkat akhir pada 19 Disember nanti.

ARTIKEL YANG SAMA