Shaw kembali berlatih

Shaw kembali berlatih

LONDON, 5 April (AFP) – Pemain pertahanan Manchester United, Luke Shaw kembali ke padang latihan semalam buat kali pertama sejak mengalami kecederaan retak kaki pada September lalu.

Pemain England berusia 20 tahun itu berlatih bersama fisioterapi United apabila dia kini melalui peringkat akhir proses pemulihan yang panjang sejak dia mengalami kecederaan pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven.

Penampilan Shaw pada sesi latihan itu disahkan rakan sepasukan Juan Mata, yang memuat naik gambar di laman Instagram dengan kenyataan: “Kawan saya @lukeshaw23 baru saja turut serta berlari di padang! Semakin hampir.”

Pengurus United, Louis van Gaal baru-baru ini mengesahkan Shaw akan kembali berlatih minggu ini, biarpun dia mengatakan pemain itu mungkin tidak akan diturunkan sebelum final Piala FA di Wembley pada 21 Mei.

Sembilan hari sebelum Roy Hodgson menamakan skuad England bagi Euro 2016, ini bermakna Shaw mungkin terlepas kejohanan di Perancis juga.

“Luke Shaw akan memulakan sesi latihan di padang minggu depan,” kata Van Gaal pada Jumaat lalu.

“Selalunya di gimnasium atau di mesin larian, di kolam renang dan lain-lain, tetapi kini dia boleh berlatih buat kali pertama dengan berat badannya di padang

“Jadi ia semuanya berjalan lancar buat Shaw. Tetapi ia juga adalah sangat sukar untuknya bermain di final Piala FA.”

ARTIKEL YANG SAMA