SHBIE adakan orientasi pengajian pelajar baru

SHBIE adakan orientasi pengajian pelajar baru

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Sebelum memulakan pengajian mereka di Universiti Brunei Darussalam (UBD), para mahasiswa-mahasiswi baru yang mengambil Ijazah Sarjana dalam Pengajaran di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE) menghadiri orientasi yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Majlis perasmian orientasi berkenaan telah diadakan di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD dan hadir selaku kehormat majlis ialah Dekan Fakulti SHBIE, Dr. Jainatul Halida binti Haji Jaidin. Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti SHBIE, Dr. Hajah Sallimah bin Haji Mohd Salleh.

Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Dr. Jainatul Halida, diikuti dengan ucapan daripada wakil Kumpulan Guru Persediaan Awal dan wakil kumpulan Perkongsian Sekolah sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab.

Dr. Jainatul Halida ketika ditemu bual media berkata, orientasi UBD sudah dijalankan minggu lalu, tetapi ini minggu Fakulti SHBIE mengadakan orientasi khusus untuk Sarjana dalam Pengajaran (MTeach) untuk menyediakan platform bagi kumpulan baru untuk bertanya soalan dan mendapatkan pemahaman yang lebih baik daripada apa yang mereka akan lalui sepanjang program 18 bulan mereka.

“Kami telah mengaturkan program tiga hari bagi memberikan ceramah motivasi, perkongsian guru-guru yang berpengalaman supaya mereka boleh bertanya soalan dan mendapatkan idea yang lebih baik daripada program ini.”

Dekan Fakulti SHBIE ketika memberikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.
Dekan Fakulti SHBIE ketika memberikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.
Di antara yang hadir pada majlis berkenaan.
Di antara yang hadir pada majlis berkenaan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti SHBIE ketika sesi temu bual bersama wartawan media.
Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti SHBIE ketika sesi temu bual bersama wartawan media.

Jelas beliau, visi mereka adalah untuk menjadikan calon guru untuk lebih proaktif dari segi menyumbang kepada sekolah-sekolah.

“Terdapat banyak keperluan dari sekolah-sekolah, jadi kami berharap pelajar MTeach kami boleh membantu dan menyokong permintaan dan keperluan dari sekolah-sekolah iaitu sekolah rendah, menengah, pendidikan teknik, pendidikan vokasional dan pendidikan tinggi.”

Ini kerana, tambah beliau, pelajar MTeach akan pergi ke sekolah empat hari dalam seminggu untuk bekerja dengan guru-guru berpengalaman di sekolah dan memberi balik ke sekolah melalui kajian, atau projek-projek tertentu di sekolah agar ada peluang bagi mereka untuk membantu dan menyokong.

“Yang dimaksudkan dengan memberi balik ke sekolah ialah dalam program kami, bakal-bakal guru ini dikehendaki membuat satu ‘research exercise’ ataupun laporan kajian.

“Mereka boleh bekerja bersama guru-guru berpengalaman dan mentor mereka di sekolah mengenal pasti apa masalah-masalah mereka hadapi dalam Matematik, Sains, Inggeris, dan apa topik-topik yang sukar yang boleh mereka tampil dengan kaedah yang mungkin berkesan untuk menangani masalah-masalah dalam pelbagai bidang subjek,” jelas Dr. Jainatul Halida lagi.

Beliau turut memberitahu bahawa falsafah dalam MTeach, dari segi kualiti, adalah untuk melibatkan diri dalam amalan berasaskan bukti (evidence based practices). Maksudnya untuk mengetahui kaedah tersebut berkesan kualiti pengajaran ia perlu dilakukan melalui penyelidikan.

Dr. Hajah Sallimah yang menemani Dr. Jainatul Halida ketika sesi temu bual tersebut pula menyatakan, “calon-calon MTeach akan dilengkapi dengan kemahiran dalam pengajaran dan menjalankan penyelidikan yang dipanggil ‘Research Inform Teaching’ bagi mengambil peluang untuk meningkatkan kualiti pendidikan melalui penyelidikan”.

Beliau juga menjelaskan bahawa melalui penyelidikan, bakal-bakal guru ini boleh memaklumkan kepada guru-guru sekolah sama ada teknik pengajaran mereka membantu meningkatkan konsep pelajar, membantu untuk meningkatkan motivasi pelajar, serta meningkatkan penglibatan pelajar-pelajar dalam sesuatu subjek.

ARTIKEL YANG SAMA