She Runs terima tajaan

She Runs terima tajaan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Larian She Runs 2016 yang diadakan Ahad ini telah menerima tajaan daripada Red Bull, Kingston Beverage & Creamery dan Quaker Oats yang menaja cenderahati mencukupi bagi menampung semua pelari wanita yang mengikuti larian berkenaan.

Dalam sidang akhbar yang berlangsung di Dewan Serba Guna Fitness Zone, Kiulap, hari ini, Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun melahirkan penghargaan atas tajaan berkenaan untuk menampung para pelari dan sukarelawan agar mereka mendapat kembali tenaga dan memastikan mereka tidak kekurangan air.

“Mereka akan benar-benar memerlukan tenaga kerana selepas acara larian, kami juga akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan, kejutan dan hadiah-hadiah hingga ke penghujung acara berkenaan serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi para pelari wanita,” jelas Wu Chun lagi.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Eksekutif Pemasaran Kingston Beverage & Creamery, Ivy Tiongco; Eksekutif Pemasaran Red Bull, Chu Hui Chiet; Eksekutif Pembangunan Perniagaan Kingston Beverage & Creamery, Faizal Rosli; dan Shelley Busque dari Fitness Zone.

Ivy Tiongco berkata, “Di dalam kit berkenaan, kami ada menyediakan Quaker Oats Cereal bagi memberi pelari kekuatan ketika acara tersebut.”

Wu Chun dan kakitangannya bergambar ramai bersama penaja-penaja bagi acara She Runs 2016.
Wu Chun dan kakitangannya bergambar ramai bersama penaja-penaja bagi acara She Runs 2016.

Sementara itu, Shelley Busque pula menjelaskan bahawa selain permainan, pada acara itu nanti akan terdapat kejutan dan aktiviti yang mencukupi, hasil daripada penaja mereka seperti hadiah tiket penerbangan ke Bali, Manila, Singapura, Kuala Lumpur dan beberapa tempat yang menarik tajaan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.

Aktiviti-aktiviti lain termasuk melukis muka yang dikendalikan oleh JoArt Gallery manakala itu, Zen Spa turut memberikan rawatan Spa dan urut sebagai sebahagian daripada hadiah yang disertakan.

She Runs 2016 anjuran Fitness Zone dan dikuasakan oleh BMW ini akan diadakan di Fitness Zone All Women’s Club, Serusop.

Bagi maklumat dan pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi Fitness Zone di talian 223 3338 atau layari laman media sosial @FitnessZoneBrunei di Instagram dan Facebook.

ARTIKEL YANG SAMA