Sheikh Salman dipinggir

Sheikh Salman dipinggir

PARIS, 7 Feb – Sudan Selatan membuat kejutan apabila beralih menyatakan sokongan ke atas Gianni Infantino bagi perebutan jawatan presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kira-kira 24 jam sebelum itu, Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menyatakan sokongan terhadap Sheikh Salman Ebrahim al-Khalifa.

“Kami menyokong Gianni Infantino sebagai presiden FIFA,” kata Chabur Goc Alei, Presiden Persekutuan Bola Sepak Sudan Selatan, dalam satu emel kepada AFP.

“Kami rasakan perancangan dia adalah yang terbaik buat persekutuan kami, untuk Afrika dan dunia.

“Saya rasa lebih banyak persatuan negara lain di Afrika akan menyokong beliau kerana dia adalah orang yang tepat untuk tugas itu.”

Semalam, di ibu negara Rwanda, Kigali, calon dari Bahrain, Sheikh Salman yang dalam persaingan mengganti tempat Sepp Blatter pada pemilihan 26 Februari ini, menerima suntikan motivasi apabila dia dikatakan menerima sokongan benua Afrika.

Namun semua 54 persekutuan Afrika itu bakal mengundi secara berasingan terhadap calon presiden pada pemilihan di Zurich bulan ini.

“Saya gembira memperoleh sokongan daripada Persekutuan Bola Sepak Sudan Selatan,” kata Infantino yang juga orang kedua di Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

“Chabur Goc Alei melakukan tugas yang sangat baik di bawah keadaan sukar dan dia faham pentingnya untuk melakukan reformasi dan pelaburan dalam pembangunan yang saya cadangkan kepada bola sepak di Afrika dan seluruh dunia.”

“Dia akan menjadi yang pertama daripada ramai lagi bagi benua ini. Seperti saya katakan semalam, saya memperoleh sokongan daripada ramai pemimpin persekutuan Afrika dan saya pasti Afrika akan memainkan peranan terpenting dalam pemilihan ini.” – AFP