Sheikh Salman nafi dakwaan MP British

Sheikh Salman nafi dakwaan MP British

ZURICH, 24 Feb (Reuters) – Ahli Parlimen British (MP) daripada Parti Konservatif, Damian Collins menggunakan imuniti sebagai MP untuk mendakwa calon Presiden FIFA, Sheikh Salman Bin Ebrahim Al Khalifa menggunakan wang daripada tabung sebuah projek pembangunan bakat muda bagi menjayakan kempen beliau memenangi pemilihan badan induk bola sepak dunia itu.

Dakwaan itu dilakukannya menerusi satu petisyen ketika Collins berucap dalam Dewan Rakyat UK yang kemudiannya dinafikan oleh Salman yang kini bersaing rapat dengan Gianni Infantino, bersama tiga calon lain.

“Pada bulan Ogos 2009, Sheikh Salman yang juga presiden Bahrain FA, telah dituduh menggunakan belanjawan pembangunan sukan FIFA untuk membiayai kempen pilihan raya jawatankuasa eksekutif FIFA beliau yang gagal,” Collins memberitahu Parlimen.

“Dalam satu surat bocor yang diterima oleh akhbar Al Bilad, Sheikh Salman didakwa telah membelanjakan sebanyak 850,000 dinar (1.6 juta pound) dalam kempennya dan sebahagian daripada wang itu datang daripada projek pembangunan bola sepak FIFA,” kata Collins yang memetik dua ‘Program GOAL FIFA’.

Collins yang juga penyokong setia kempen kumpulan pendesak ‘New FIFA Now’, mengaitkan dakwaannya itu dengan cubaan Salman bertanding pada pemilihan jawatankuasa eksekutif FIFA pada 2009 serta kejayaannya terpilih sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia pada 2013.

Pemilihan FIFA itu dilaksanakan bagi menggantikan Sepp Blatter dan dijadual berlangsung di Zurich Jumaat ini. Blatter sedang menjalani penggantungan daripada semua aktiviti bola sepak selama lapan tahun. Sementara itu, FIFA serta Jawatankuasa Etikanya enggan mengeluarkan sebarang komen mengenai laporan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA