Shell batal teroka minyak di Alaska

Shell batal teroka minyak di Alaska

LONDON, 28 Sept (AFP) – Syarikat minyak Inggeris-Belanda, Royal Dutch Shell berkata hari ini ia telah membatalkan usaha mencari gali luar pesisir di Alaska selepas gagal mencari kuantiti minyak dan gas yang mencukupi.

Shell dalam kenyataannya, mengumumkan bahawa telaga Burger J di Laut Chukchi, di luar pantai barat laut Alaska, tidak memerlukan usaha mencari gali lanjut, menambah ia akan menghentikan kegiatannya di perairan Alaska sekarang.

Syarikat minyak itu memulakan usaha mencari gali pada Julai, dua bulan selepas Presiden AS Barack Obama membenarkan kegiatan mencari gali minyak di Artik, satu keputusan yang menimbulkan kemarahan kumpulan alam sekitar.

“Shell telah menemui tanda-tanda minyak dan gas dalam telaga Burger J, namun ia tidak mencukupi untuk mewajarkan usaha mencari gali selanjutnya dalam mencari gali Burger,” kata kumpulan yang disenarai di London dalam satu kenyataan.

“Telaga akan ditutup dan ditinggalkan mengikut peraturan AS,” menurut kenyataan itu, menambah, “Shell kini akan menghentikan aktiviti operasi di luar pesisir Alaska pada masa depan.”

Gambar fail 15 Jun 2015 menunjukkan para pengkayak cuba untuk menyekat platform pelantar minyak ‘Perintis Kutub’ Minyak Shell yang digunakan untuk operasi menggerudi di Alaska. – AFP
Gambar fail 15 Jun 2015 menunjukkan para pengkayak cuba untuk menyekat platform pelantar minyak ‘Perintis Kutub’ Minyak Shell yang digunakan untuk operasi menggerudi di Alaska. – AFP

Syarikat itu, yang menghabiskan kira-kira $7 bilion ke atas penerokaan di Artik, mengatakan keputusannya untuk berundur itu menggambarkan kos tinggi projek berkenaan dan kewujudan pengawal atur persekutuan persekitaran di kawasan tersebut.

“Keputusan ini mencerminkan keputusan telaga Burger J, kos tinggi yang dikaitkan dengan projek, dan persekitaran peraturan persekutuan yang mencabar dan tidak dapat diramalkan di luar pesisir Alaska.”

Dalam reaksi terhadap keputusan Obama pada Mei, Greenpeace mengecam presiden AS dan meminta orang supaya menandatangani petisyen online untuk menyekat usaha mencari gali di luar pesisir Artik.

Menjustifikasikan tindakannya untuk membenarkan Shell mencari gali di kawasan itu, Obama telah menggambarkan pengeluaran minyak AS satu sumber tenaga yang “penting.”

Bagaimanapun, Greenpeace menggambarkan usaha mencari gali minyak di rantau sebagai satu “kesilapan teruk” yang mungkin merosakkan persekitaran Artik dan berpotensi mencetuskan satu bencana ekologi.

Kumpulan tekanan itu berikrar akan menentang Shell dan menggesa Obama supaya menghentikan kegiatan mencari gali di rantau.