Shelvey wakili England

Shelvey wakili England

LONDON, 31 Ogos (Reuters) – Kejayaan membantu Swansea City mengejutkan Liga Perdana Inggeris Manchester United di Stadium Liberty malam tadi pasti tidak akan dilupakan oleh Jonjo Shelvey.

Ini kerana tidak lama selepas kemenangan itu, namanya turut disenaraikan oleh jurulatih Roy Hodgson dalam skuad England, bagi menghadapi saingan kelayakan Euro 2016 menentang San Marino dan Switzerland.

Perancang bertenaga ini pertama kali dipanggil mewakili negaranya menentang San Marino kira-kira dua tahun lalu.

Selain Shelvey, turut dipanggil bagi aksi berkenaan adalah pertahanan kiri United, Luke Shaw yang kali terakhir bermain untuk negaranya ketika England menewaskan Scotland 3-1 pada November 2014.

Penjaga gol Burnley, Tom Heaton adalah antara pemain yang pertama kali turut dipanggil. England bakal menentang San Marino pada 5 September ini di tempat lawan, dan akan menyambut kunjungan Switzerland di Wembley tiga hari kemudian. Setakat ini, pasukan Hodgson sudah memenangi semua enam aksi kelayakan dan hanya memerlukan empat mata lagi dari dua baki perlawanan bagi memastikan mereka memenangi Kumpulan E.

Kejayaan itu akan membolehkan pasukan berkenaan layak secara automatik ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis tahun depan.

Aksi menentang San Marino ini juga bakal menjadi pertaruhan paling baik untuk Wayne Rooney mencatat rekod baru sebagai penjaring terbanyak England sepanjang zaman.

Penyerang Manchester United itu yang sudah menjaringkan 48 gol, kini memerlukan satu lagi gol untuk menyamai jaringan Bobby Charlton.

ARTIKEL YANG SAMA