Shimon Peres meninggal dunia

Shimon Peres meninggal dunia

RAMAT GAN, Israel, 28 Sept – Bekas presiden Israel dan penerima hadiah Nobel, Shimon Peres meninggal dunia hari ini, kira-kira dua minggu selepas mengalami strok serius.

Negarawan berusia 93 tahun itu meninggal dunia semasa tidur kira-kira 3 pagi, kata Rafi Walden, menantu lelaki Peres, memberitahu AFP. Dia dikelilingi oleh para anggota keluarga, menurut sumber rapat dengan Peres memberitahu AFP.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melahirkan “rasa amat sedih”. Peres pernah memegang hampir setiap jawatan utama di negara itu, dengan dua kali menyandang jawatan perdana menteri dan juga sebagai presiden, dari tahun 2007 hingga 2014.

Dia pernah memenangi hadiah Nobel tahun 1994 bersama-sama perdana menteri Yitzhak Rabin dan pemimpin Palestin Yasser Arafat dalam peranannya merundingkan perjanjian Oslo, yang membayangkan sebuah negara merdeka Palestin.

Peres dirawat di hospital dekat Tel Aviv sejak 13 September, apabila dia dikatakan kurang sihat dan mengalami strok dengan pendarahan dalaman. Dia dalam keadaan sedasi dan menerima bantuan pernafasan dibawah penjagaan rapi.

Terdapat adanya tanda-tanda pemulihan minggu lalu, dan pada 18 September lalu pejabat Peres berkata para doktor bercadang untuk perlahan-lahan mengurangkan sedasinya dan bantuan pernafasan untuk menilai responsnya. – AFP