Shotokan JKMO juara keseluruhan Karate-Do B23

Shotokan JKMO juara keseluruhan Karate-Do B23

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Shotokan JKMO Dojo Stadium Tertutup tampil juara keseluruhan Kejohanan Karate-Do Bawah 23 tahun (B23) anjuran bersama Shotokan, Jabatan Belia dan Sukan dan Persekutuan Karate-Do Brunei Darussalam (BRUKAF) yang diadakan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pada kejohanan itu Shotokan JKMO tampil dengan 14 pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa meninggalkan Shotokan Sekolah Sukan yang mengutip sembilan pingat emas, empat pingat perak dan 12 pingat gangsa untuk tampil di tempat kedua sementara Shotokan Temburong berada di tempat ketiga dengan tiga pingat emas, tujuh pingat perak dan lapan pingat gangsa.

Turut menyertai kejohanan kali ini ialah Shotokan Universiti Teknologi Brunei yang berjaya mengutip tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa; Wadokai KB tiga emas, satu perak dan enam gangsa; Rengokai dua emas, empat perak dan 12 gangsa dan Gojukai dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

Gambar ramai para pemenang pada hari terakhir kejohanan tersebut.
Gambar ramai para pemenang pada hari terakhir kejohanan tersebut.
Salah satu aksi pada kejohanan tersebut.
Salah satu aksi pada kejohanan tersebut.

Juga tersenarai memenangi pingat dalam kejohanan kali ini ialah Pasukan Shotokan STPRI dengan satu emas, tiga perak dan lima gangsa; Shotokan SMSSA dua perak dan dua gangsa; Shotokan Tutong satu perak dan tujuh gangsa; Shotokan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah satu perak dan empat gangsa; Shotokan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan satu perak dan dua gangsa dan Shotokan PTE dengan tiga pingat gangsa.

Terdahulu, kejohanan dibuka rasmi pada 13 September lalu oleh Presiden BRUKAF, Shihan Pengiran Haji Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara Pengiran Dr. Haji Mohd Yusof yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah pada kedua-dua hari kejohanan semalam.

Pada hari terakhir di majlis penutup kejohanan hadiah disampaikan oleh Ketua Unit pembangunan dan Kejurulatihan Sukan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Kifli bin Haji Jaafar serta perwakilan KKBS, Dayang Umi Kalthum Haji Abdul Karim.

Kira-kira 188 peserta berusia di antara lapan dan 23 tahun daripada 13 buah kelab menyertai beberapa disiplin pertandingan itu antaranya Wadokai, Shitokai, Gojukai, Shotokan dan Rengokai.

ARTIKEL YANG SAMA