Si cerdik 12 tahun sedia mulakan pengajian universiti

Si cerdik 12 tahun sedia mulakan pengajian universiti

SACRAMENTO, California, 23 Mei (AP) – Seorang pelajar berusia 12 tahun yang sudah pun mempunyai tiga ijazah kolej komuniti dan diterima di dua buah kampus universiti California mengatakan dia merancang untuk belajar kejuruteraan bioperubatan dan menjadi seorang doktor serta penyelidik perubatan menjelang usianya 18 tahun.

Tanishq Abraham sudah diterima ke UC Davis dan menerima satu biasiswa diraja ke UC Santa Cruz namun dia belum lagi memutuskan universiti mana yang akan dihadirinya, lapor stesen televisyen Sacramento CBS 13 semalam.

“Saya rasa pada usia 18 tahun saya akan mendapat gelaran doktor perubatan,” katanya.

Tanishq memulakan kolej komuniti pada usia 7 tahun dan tahun lalu menerima ijazah madya dari Kolej River Amerika, sebuah kolej komuniti di Sacramento, dalam sains awam, matematik, sains fizikal dan pengajian bahasa asing.

Profesor di kolej pada awalnya enggan dia memasuki kelas mereka kerana usianya.

Namun akhirnya seorang profesor bersetuju jika ibunya, seorang doktor perubatan veterinar, juga mengambil kelas itu.

Menurut Tanishq, kanak-kanak cerdik sering dilihat sebagai ganjil. “Apabila anda memikirkan seorang yang cerdik, anda fikirkan seorang saintis gila seumpamanya,” katanya.