Si cilik berpeluang tinjau studio RTB

Si cilik berpeluang tinjau studio RTB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Ogos – Murid-murid Kelas Tadika 3, Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait terus didedahkan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman bersama masyarakat, melalui aktiviti-aktiviti lawatan di luar daripada sekolah di sini.

Sementara itu, hari ini, rombongan lebih 60 orang murid kelas tadika berkenaan telah berpeluang meninjau secara lebih dekat bahagian stesen penggambaran dan rakaman radio RTB, serta menyaksikan suasana kerja warga RTB dalam lawatan ke Bangunan Radio dan Televisyen Brunei (RTB) cawangan Daerah Belait.

Ketibaan rombongan murid berkenaan yang diiringi oleh Penolong Pengawasan Murid, Bahagian Tadika, Dayang Ngau Mee Shing, telah dialu-alukan oleh Ketua Stesen RTB Kuala Belait, Haji Mozni bin Anuar.

Semasa kunjungan ke bahagian penggambaran, murid-murid kelihatan amat seronok kerana turut berpeluang tampil di televisyen, bersama penyampai rancangan ‘Rampai Pagi, laporan dari Daerah Belait’.

‘Rampai Pagi’ bersiaran secara langsung tujuh hari seminggu bermula pukul 8:25 pagi.

Murid-murid begitu seronok semasa berpeluang meninjau bahagian studio rakaman RTB Belait.
Murid-murid begitu seronok semasa berpeluang meninjau bahagian studio rakaman RTB Belait.

Dayang Ngau Mee Shing memberitahu, murid-murid kelas tadika memang menantikan peluang untuk dapat melawat ke RTB, selain berpeluang melihat peralatan rakaman dan sebagainya mereka turut berpeluang mengetahui bagaimana penggunaan peralatan berkenaan, dan lebih seronok berpeluang menyaksikan cara penggambaran televisyen secara langsung dibuat di dalam studio.

“Di sini, mereka berpeluang mempelajari sesuatu yang tidak dapat dipelajari di sekolah, melalui lawatan hari ini, mereka telah mendapat pengetahuan dan pengalaman yang akan dapat turut digunakan di sekolah, seperti melalui karangan dan sebagainya,” katanya.

Merakamkan kenangan bergambar di luar bangunan Radio Televisyen Brunei (RTB) Belait.
Merakamkan kenangan bergambar di luar bangunan Radio Televisyen Brunei (RTB) Belait.

Dalam lawatan itu, murid-murid juga telah diberikan peluang mencuba bagaimana untuk menjadi penyampai radio (DJ) selain turut mencuba bagaimana temu bual dan rakaman dilakukan, selain mengetahui beberapa nama peralatan yang digunakan di studio rakaman.

Kunjungan ke RTB Belait, bukanlah pertama kali bagi murid-murid tadika sekolah tersebut, kerana sebelum ini juga sudah diadakan aktiviti lawatan ke studio berkenaan, yang melibatkan murid-murid kelas tadika lainnya.

Lawatan itu merupakan aktiviti tahunan yang dilakukan sebagai salah satu program pembangunan pendidikan murid-murid sekolah berkenaan, selain itu, sekolah berkenaan juga menganjurkan lawatan ke pusat-pusat perkhidmatan awam dan masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA