SIA mahu ‘tambat’ Tiger Airways

SIA mahu ‘tambat’ Tiger Airways

SINGAPURA, 8 Nov (BHS) – Syarikat penerbangan Singapore Airlines Ltd (SIA) Ltd telah menawarkan $453 juta bagi membeli kesemua saham syarikat penerbangan bajet Tiger Airways yang tidak dimilikinya.

SIA, yang ketika ini memiliki 55.8 peratus perkongsian dalam Tiger, ingin menswastakan dan menarik balik penyenaraian saham Tiger daripada Bursa Singapura (SGX).

Penyepaduan penuh Tiger dalam Kumpulan SIA akan membolehkan sinergi operasi dan komersial, kata kenyataan SIA semalam.

Saham SIA dan Tiger digantung pagi semalam sebelum pengumuman itu dibuat.

SIA menawarkan 41 sen bagi setiap saham dimiliki pemegang saham Tiger. Ia adalah 31 peratus lebih tinggi berbanding harga saham Tiger ditutup kelmarin.

Pemegang saham Tiger juga mempunyai opsyen melanggani saham SIA pada harga $11.1043 sesaham atau 0.4 peratus lebih rendah daripada harga tutup sebanyak $11.15 kelmarin.

“Kejayaan Tiger berkait rapat kerana ia merupakan sebahagian daripada kumpulan SIA. Melalui strategi portfolio kami, kami mempunyai pelaburan dalam kededua perniagaan khidmat penuh dan kos rendah.

“Tiger telah menunjukkan prestasi baik dalam penyusunan semula perniagaan itu bagi membaiki kedudukan kewangannya, tetapi kami yakin potensi pembangunan Tiger terbatas tanpa penyepaduan lebih mendalam dalam Kumpulan SIA untuk membangunkan asas pertumbuhan yang kukuh dalam jangka panjang,” kata Ketua Eksekutif SIA, Goh Choon Phong.

Selain Tiger yang terbang ke destinasi berdekatan, SIA juga memiliki penuh satu lagi syarikat penerbangan tambang murah, Scoot, yang terbang ke destinasi jauh.

Pengumuman itu dibuat selang sehari selepas SIA mengumumkan keuntungan bersih suku kedua menjulang 135 peratus mencapai $213.6 juta hasil harga minyak pesawat lebih rendah, dividen lebih tinggi daripada pelaburan serta langkah Tiger menjadi anak syarikat SIA.

SIA berkata tawaran bagi Tiger, yang mempunyai nilai dianggarkan $1.02 bilion, akan dibiayai melalui sumber tunai dalaman SIA.

ARTIKEL YANG SAMA