SIA rai ulang tahun ke-60

SIA rai ulang tahun ke-60

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Syarikat Penerbangan Singapura (SIA) menyambut hari ulang tahunnya yang ke-60 tahun di Brunei dengan majlis makan malam yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Pengurus Besar SIA di Brunei, Aldrin Arumugam dalam ucapan alu-aluannya menyampaikan penghargaan kepada para tetamu yang terdiri daripada rakan kongsi dalam industri penerbangan.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, TYT Jaya Ratnam, Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan  Aldrin Arumugam (kanan) ketika memotong kek ulang tahun ke-60 SIA.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, TYT Jaya Ratnam, Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Aldrin Arumugam (kanan) ketika memotong kek ulang tahun ke-60 SIA.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi berserta isteri ketika menghadiri majlis makan malam meraikan Syarikat Penerbangan Singapura.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi berserta isteri ketika menghadiri majlis makan malam meraikan Syarikat Penerbangan Singapura.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama semua pemenang.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama semua pemenang.

Selain itu, beliau juga menceritakan sejarah perjalanan SIA selama 60 tahun di negara ini yang kini mempunyai penerbangan lima kali dalam seminggu dengan menawarkan 100 perkhidmatan destinasi di seluruh dunia.

Sejurus selepas makan malam sambil diserikan dengan persembahan oleh artis tempatan, majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Terbaik kepada lima agensi penerbangan di negara ini.

Tempat pertama dimenangi oleh Freme Travel Services Sdn Bhd diikuti oleh Century Travel Centre Sdn Bhd di tempat kedua, JJ Tour Service (B) Sdn Bhd di tempat ketiga dan Pan Bright Travel Service serta Darussalam Holdings Sdn Bhd yang masing-masing menerima anugerah di tempat keempat dan kelima.

Acara diteruskan lagi dengan persembahan khas oleh kakitangan agensi SIA dan pasukan lapangan terbang yang kemudiannya dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah dan tayangan video klip mengenai Premium Economy.