Siap sedia bagi pengibaran bendera besar negara

Siap sedia bagi pengibaran bendera besar negara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Bendera Negara Brunei Darussalam akan mula berkibar megah dengan seluruh rakyat dan penduduk negara bersedia untuk sama-sama meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun.

Sambutan perayaan itu merupakan acara yang mempunyai signifikan kenegaraan yang murni dan semangat patriotisme yang tinggi di mana seluruh rakyat dan penduduk di negara ini mendoakan bagi kesejahteraan dan keselamatan raja dan negara.

Sehubungan itu, latihan penuh Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan latihan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-69.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), para pegawai KHEDN dan Jabatan Adat Istiadat Negara serta pegawai-pegawai daerah.

Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam bersedia untuk bergerak masuk.
Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam bersedia untuk bergerak masuk.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi menyaksikan latihan penyerahan bendera kepada pegawai-pegawai daerah.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi menyaksikan latihan penyerahan bendera kepada pegawai-pegawai daerah.
Pasukan koir membuat persembahan semasa latihan penuh Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di ibu negara, kelmarin.
Pasukan koir membuat persembahan semasa latihan penuh Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di ibu negara, kelmarin.

Majlis berkenaan mula-mula menyaksikan seramai 69 orang Pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Seterusnya, Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei pula bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei dan juga menyempurnakan pengibaran bendera besar Negara Brunei Darussalam.

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan bagi meraikan sambutan berkenaan, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diminta untuk mengibarkan bendera di rumah-rumah kediaman dan bangunan pejabat serta perniagaan bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos.

Manakala itu, pengiran-pengiran pula hendaklah mengibarkan bendera peribadi, orang-orang yang dikurniakan gelaran hendaklah mengibarkan bendera masing-masing dan bagi orang ramai hendaklah mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA