Siap sedia hadapi cabaran

Siap sedia hadapi cabaran

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Negara Brunei Darussalam masih belum terlepas daripada cengkaman cabaran-cabaran yang tidak dijangka yang harus ditangani oleh penggubal dasar, selain kerumitan masa kini yang tercetus akibat krisis harga minyak.

Sebagai sebuah negara berdaulat, institusi perkhidmatan awam negara ini seharusnya bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang datang dan menjadikannya sebagai pemangkin yang dapat mendorong pelaksanaan lebih banyak usaha yang dapat meningkatkan lagi kesejahteraan dan kestabilan negara ini.

Ketika menyampaikan ucaptama selaku tetamu kehormat pada perasmian Forum Strategi Pandangan Jauh dan Penyelidikan Batas Pengetahuan Dalam Menggubal Dasar (Strategic Foresight and Horizon Scanning for Policy Making), Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohamad Roselan bin Haji Mohamad Daud berkata, dalam jangka masa dua dekad lagi Negara Brunei Darussalam pasti akan berhadapan dengan beberapa cabaran getir dalam usahanya untuk mempromosi pertumbuhan dan kemajuan negara ini.

“Akan terdapat ketidaktentuan dan kerumitan dalam suasana politik dan ekonomi global yang akan turut mempengaruhi pembangunan negara ini ke arah kuasa globalisasi dalam era ekologikal dan teknologikal yang rancak berubah ini,” katanya pada forum yang diadakan di Pejabat Pusat Kajian Strategi dan Dasar, Gadong hari ini.

Beliau seterusnya memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Tahun Baru 2016 yang menekankan supaya negara ini terus melangkah ke arah pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berdaya saing, sambil bersiap sedia menghadapi cabaran besar yang bakal tercetus akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Dato Paduka Haji Mohamad Roselan menyampaikan ucaptama pada forum, semalam.
Dato Paduka Haji Mohamad Roselan menyampaikan ucaptama pada forum, semalam.

Menurutnya, negara ini perlu mempunyai visi yang melangkaui keadaan sedia kala, dan berpandangan ke depan serta membuat perancangan berasaskan perspektif pelbagai dimensi, berbanding pendekatan satu haluan.

Dato Paduka Haji Mohamad Roselan berpendapat, kajian pandangan jauh dan penggunaan penyelidikan batas pengetahuan telah mendapat pengiktirafan yang signifikan daripada golongan penggubal dasar, kumpulan pemimpin dan jabatan perancangan strategik di seluruh dunia.

Kajian strategi kajian pandangan jauh dan penyelidikan batas pengetahuan dapat bertindak sebagai sistem pemantauan dalam pembuatan dasar yang membolehkan pengesanan awal dibuat terhadap peluang dan ancaman yang bakal dihadapi.

“Kesedaran terhadap perubahan itu membuka peluang untuk intervensi secara pintar yang selama ini tidak diketahui atau tiada masa untuk diaplikasikan oleh penggubal dasar,” ujar beliau.

“Ia penting kerana tindakan memperlengkapkan diri dengan amaran awal akan membolehkan penggubal dasar mempertimbangkan tindakan-tindakan untuk perubahan, daripada menjadi mangsa kepada perubahan.”

Dr. Jose Ramos (tengah) bersama ahli panel lain pada forum tersebut.
Dr. Jose Ramos (tengah) bersama ahli panel lain pada forum tersebut.

Dalam ucapannya, beliau juga menyambut baik mandat baru yang dipertanggungjawabkan kepada Pusat Kajian Strategi dan Dasar (CSPS) untuk muncul sebagai Kumpulan Pemikir Pandangan Jauh yang diiktiraf oleh dunia sebagai nilai tambah kepada peranannya bagi kajian dasar dan strategik di negara ini yang belum lagi menjalankan kerja berpandangan jauh yang penting atau mewujudkan rangkaian hubungan antarabangsa.

Sehubungan itu, dalam usahanya untuk muncul sebagai pusat dasar pandangan jauh yang diiktiraf dunia, Dato Paduka Haji Mohamad Roselan yakin CSPS akan menyokong usaha inovasi organisasi dan mereka bentuk strategi kepengurusan jangka selaras dengan mandat yang diberikan kepadanya.

Forum yang dihadiri lebih 100 setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pengarah dan pegawai kanan kerajaan dan sektor swasta itu turut mengundang dua penceramah undangan, iaitu Dr. Jose Ramos dari Australia dan Cheryl Chung dari Singapura.

Dr. Ramos yang didatangkan dari Action Foresight Australia membincangkan mengenai tajuk ‘Pandangan Jauh bagi Dasar Awam di Negara Brunei Darussalam’ yang berkisar sekitar manfaat dan peluang utama mengaplikasi dasar pandangan jauh dalam penggubalan dasar awam.

Sementara Cheryl Chung dari Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore dalam pembentangannya membincangkan mengenai syarikat pasaran hadapan di Singapura dan bagaimana syarikat berkenaan mempengaruhi dasar awam Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA