Siap sedia terima junjung ziarah

Siap sedia terima junjung ziarah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Ogos – Bagi memastikan Persembahan Khas Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di Daerah Belait berjalan dengan lancar dan sempurna, latihan giat dijalankan di Padang Bandaran, di sini.

Sementara itu, hari ini, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, turut hadir bagi meninjau persediaan latihan yang dijalankan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan.

Dalam lawatan itu, Yang Berhormat Pehin meneliti pengemaskinian persediaan latihan awal majlis itu yang dijangka akan berlangsung pada 22 Ogos ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), pegawai Daerah Belait dan ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ke-69 Tahun bagi Daerah Belait serta para pegawai dari KHEDN dan Jabatan Daerah Belait.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin semasa membuat tinjauan ke atas latihan di Padang Bandaran Kuala Belait.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin semasa membuat tinjauan ke atas latihan di Padang Bandaran Kuala Belait.

pg11_150812_b

pg11_150812_c

Persembahan Khas dengan tema ‘Raja Pencetus Insipirasi Generasi Berwawasan’ membawa konsep campuran persembahan pantun, bicara berirama, pidato yang diserikan dengan muzik tradisional dan kontemporari tentang raja yang menjadi inspirasi kepada generasi Negara Brunei Darussalam.

Konsep itu juga menggambarkan generasi berwawasan Negara Brunei Darussalam yang bersemangat, cergas, cerdas, aktif, proaktif, berjiwa besar, progresif dan dinamik dalam mendokong dan mempertahankan kepimpinan raja serta merealisasikan hasrat dan wawasan Baginda sebagaimana yang dinyatakan dan dibayangkan dalam huraian tema persembahan.

ARTIKEL YANG SAMA