Siapa benar-benar bangkit?

Siapa benar-benar bangkit?

LONDON, 18 Sept (AFP) – Masa seminggu benar-benar satu penantian yang terlalu lama dalam bola sepak lebih-lebih lagi bagi Arsenal yang akan bertandang ke Chelsea untuk aksi Liga Perdana Sabtu ini, selepas kedua-dua pasukan ini menampakkan lebih banyak kelemahan berbanding kecemerlangan awal musim ini.

Kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Stoke City minggu lepas membolehkan mereka bergerak ke dalam empat pasukan teratas buat kali pertama musim ini, manakala Chelsea pula tewas 3-1 di Everton untuk kekalahan ketiga dalam empat perlawanan, menyebabkan juara bertahan itu ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Manchester City untuk menghuni tempat ke-17.

Tetapi ketika Chelsea menewaskan Maccabi Tel Aviv 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara semalam, Arsenal pula tewas 2-1 di Dinamo Zagreb walaupun sudah membuat penyusunan semula untuk kesebelasan utamanya.

“Kami datang dengan perasaan berbeza. Kami boleh bangun dengan fikiran yang berbeza,” Jose Mourinho memberitahu Chelsea TV selepas kemenangan di Stamford Bridge.

“Sabtu ini adalah perlawanan besar; ia adalah satu saingan yang hebat. Keputusan ini boleh meletakkan kami dalam keadaan yang lebih baik.”

Wenger (kiri) dan Mourinho bertengkar semasa aksi Liga Perdana pada 6 Oktober 2014. - Reuters
Wenger (kiri) dan Mourinho bertengkar semasa aksi Liga Perdana pada 6 Oktober 2014. – Reuters

Walaupun kepentingan kemenangan Chelsea mesti dipertimbangkan dengan kelemahan relatif lawan, terdapat tanda-tanda menggalakkan yang boleh diambil kira berdasarkan prestasi kelmarin.

Diego Costa menjaringkan gol, Cesc Fabregas menemui semula kuasa pengaruhnya dan pertahanan mengekalkan mereka tanpa bolos buat buat kali pertama sejak menang 1-0 ke atas Crystal Palace 3 Mei sehingga Blues berjaya merangkul gelaran musim lalu.

Penalti tumpul Eden Hazard, yang masih berusaha mencari rentak musim lalu, tidak banyak membimbangkan Mourinho selepas Ruben Loftus-Cheek, 19, mempamerkan persembahan yang meyakinkan di bahagian tengah.

Ia juga merupakan peluang bagi jurulatih dari Portugal itu untuk mencanangkan amaran kepada beberapa pemain yang paling mudah dilihat beraksi di bawah tahap sebenar.

Branislav Ivanovic, ketua pasukan John Terry dan Nemanja Matic menyaksikan perlawanan dari bangku simpanan dan dijangka menjadi penonton lagi memandangkan Blues sudah ada percikan daripada pemain muda.

Jika kemenangan Kumpulan G semalam menunjukkan kekuatan dalaman Chelsea, di Zagreb pula lain ceritanya apabila keputusan Arsene Wenger membuat enam perubahan memakan diri.

Alex Oxlade-Chamberlain menjaringkan gol sendiri dan Olivier Giroud dibuang padang pada malam yang menginsafkan untuk Arsenal, yang kelihatan mula bertapak selepas tewas mengejut 2-0 di laman sendiri kepada West Ham United pada aksi pembukaan musim ini.

“Kami perlu bergerak sekarang,” kata Theo Walcott, yang diturunkan dari bangku simpanan dan menjaringkan gol di Stadium Maksimir. “Kami ada perlawanan besar dan penting pada hujung minggu.

Premier League matchday 6

“Semua kecewa tetapi pengurus akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi dan kenangan pahit itu akan tinggal di sana.”

Walcott berharap ketajaman beliau di ibu negara Croatia akan membolehkannya untuk menuntut semula tempatnya daripada Giroud yang terus memecah-belahkan penyokong Arsenal.

Penjaga gol Petr Cech juga dijadualkan beraksi apabila kembali ke bekas kelabnya – di mana beliau membuat 486 penampilan lebih 11 tahun di sana – bersama Hector Bellerin, Nacho Monreal, Aaron Ramsey dan Francis Coquelin.

Chelsea bersedia tanpa Willian, yang mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Maccabi dengan Pedro Rodriguez dan Oscar diragui kecergasan selepas aduan lutut.

Ia akan menjadi penantian yang lama sebelum Arsenal boleh melawat Stamford Bridge tanpa memikirkan kekalahan 6-0 memalukan yang menimpa mereka di sana pada Mac 2014 sempena perlawanan kendalian ke-1,000 Wenger.

Bagaimanapun, Wenger menewaskan Mourinho pada percubaan ke-14 apabila pasukan mereka bertemu kali terakhir dalam perlawanan Perisai Komuniti di Wembley, di mana ledakan cantik Oxlade-Chamberlain mengesahkan kelebihan Arsenal untuk muncul juara.

Permusuhan panjang antara pengurus kelab London itu timbul semula selepas permainan apabila Wenger enggan berjabat tangan dengan Mourinho, tetapi tanda-tanda semasa rasa benci dijangka bertambah lagi hujung minggu ini, jika mereka tidak mendekati permainan dengan keyakinan yang teguh.