Siasat kebarangkalian kemasukan pengganas melalui perairan negara

Siasat kebarangkalian kemasukan pengganas melalui perairan negara

ALOR SETAR, 15 Jan (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menyiasat sebarang kebarangkalian kemasukan elemen militan oleh warga asing yang memasuki perairan negara.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata selain negara jiran, pihaknya juga turut memantau warga asing yang memasuki perairan negara dari negara yang berisiko membawa fahaman militan.

Beliau berkata daripada 30,000 pemeriksaan atas laut dibuat APMM sepanjang tahun lalu, ada warga asing dari negara seperti Afghanistan, Sri Lanka dan Somalia yang ditahan.

“Kita perlu berhati-hati, siasat dan teliti mereka yang menyusup masuk supaya tidak terlepas pandang akan apa jua kebarangkalian, kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bot lucut hak APMM kepada Jabatan Pertahanan Awam di sini hari ini.

Ahmad Puzi berkata APMM dengan kekuatan 5,000 anggota juga sentiasa bersiap siaga 24 jam mengawal perairan negara dan merancang untuk meningkatkan lagi anggota dan kelengkapan peralatan melalui perancangan strategik hingga tahun 2040.

Beliau berkata atas tindakan kesiapsiagaan itu juga kadar jenayah maritim negara hanya berada pada paras tiga peratus, jumlah paling kecil dibandingkan dengan kawasan lain.

“Sebagai contoh, terdapat 77,000 kapal yang melalui Selat Melaka, daripada jumlah itu, tiada sebuah kapal pun diganggu oleh perompak dan lanun, maknanya industri ekonomi dan perdagangan dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Mohd Puzi berkata rangkaian sistem radar juga akan dibina di Pulau Jarak, Perak dan Pulau Perak, Kedah tahun ini bagi meningkatkan pemantauan dan kuatkuasa di perairan Selat Melaka.

Ketika ini, APMM memiliki sembilan stesen radar di perairan Selat Melaka yang memantau dan menyalurkan maklumat kepada kapal serta bot rondaan APMM selain tiga stesen radar di Sabah yang meliputi Kota Kinabalu sehingga ke Kudat.

ARTIKEL YANG SAMA