Siasat serangan udara ragut 140 jiwa

Siasat serangan udara ragut 140 jiwa

SANAA, 9 Okt – Pasukan gabungan dike-tuai Saudi yang menentang pemberontak di Yaman berkata hari ini ia akan menyiasat serangan udara yang membunuh lebih 140 orang, selepas Washington mengumumkan ia akan mengkaji semula sokongan bagi perikatan itu.

Pemberontak Huthi yang disokong Iran telah menyalahkan pasukan gabungan Arab atas serangan pada Sabtu, insiden paling maut sejak ia melancarkan kempen tentera ke atas pemberontak Syiah pada Mac tahun lepas.

Serangan itu mungkin akan menghambat hubungan AS-Saudi yang sudah pun tegang berhubung campur tangan tentera gabungan yang disyaki mengakibatkan kematian hampir separuh daripada lebih 4,000 orang awam dalam konflik Yaman.

Selepas pada awalnya menafikan sebarang kebertanggungjawaban, pasukan gabungan itu berkata ia sedia untuk melancarkan siasatan ke atas serangan ‘yang disesali dan menyakitkan’ itu, yang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata juga telah mencederakan lebih 525 orang.

“Pasukan gabungan akan menyiasat kes itu dengan segera bersama…..pakar-pakar dari Amerika Syarikat (AS) yang menyertai siasatan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dibawa oleh Saudi Press Agency.

Para pekerja Yaman berkumpul di tapak bangunan musnah berikutan laporan serangan udara oleh pesawat udara pasukan gabungan yang diketuai Saudi di bandar Sanaa pada 8 Oktober. – AFP
Para pekerja Yaman berkumpul di tapak bangunan musnah berikutan laporan serangan udara oleh pesawat udara pasukan gabungan yang diketuai Saudi di bandar Sanaa pada 8 Oktober. – AFP

“Gabungan itu juga akan bersedia untuk memberikan pasukan penyiasat dengan mana-mana data dan maklumat berkaitan dengan operasi tenteranya hari ini, di lokasi insiden dan kawasan sekitarnya,” katanya.

PBB berkata para pekerja bantuan sangat ‘terkejut dan berang’ dengan serangan yang melanda sebuah dewan komuniti di Sanaa tempat para pengkabung sedang berkumpul.

Laman berita yang dikawal pemberontak sabanews.net berkata pesawat pasukan gabung menyerang selepas ratusan berkumpul untuk berkabung bagi kematian ayah pemberontak, menteri dalam negeri Jalal al-Rowaishan dan mengutuk ‘serangan besar-besaran itu’.

Huthis tidak mengatakan jika Rowaishan juga berada di dalam bangunan itu pada ketika serangan, mahupun mengatakan jika ketua kanan lain turut menghadiri majlis pengebumian itu.

Namun datuk bandar Sanaa, Abdel Qader Hilal antara yang terbunuh dalam kejadian berkenaan, menurut televisyen pemberontak, Almasirah.

Sekutu penting Riyadh, Washington telah memberi amaran yang ia melancarkan satu ‘kajian semula serta-merta’ mengenai sokongan kepada pasukan gabungan Arab.

“Kami berasa sangat terkesan dengan laporan serangan udara hari ini yang melanda dewan majlis pengebumian di Yaman, yang mana, jika disahkan, akan menambah lagi siri serangan bermasalah ke atas orang awam Yaman,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Ned Price dalam satu kenyataan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA