Siasatan 1MDB ditangguh, Muhyiddin positif

Siasatan 1MDB ditangguh, Muhyiddin positif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Reuters) – Satu siasatan parlimen Malaysia ke atas skandal rasuah di syarikat dana pelaburan kerajaan yang membabitkan Perdana Menteri Najib Razak ditangguhkan ketika perpecahan dalam parti yang lama memerintah, tampak lebih besar hari ini.

Tuduhan rasuah besar-besaran ke atas syarikat pelaburan dibelenggu hutang itu adalah ancaman terbesar terhadap kredibiliti Najib semenjak beliau mengambil alih kuasa dalam 2009 dan boleh mengancam cengkaman partinya, UMNO yang sudah pun memerintah semenjak kemerdekaan dalam 1957.

Najib memecat timbalannya semalam selepas beliau menyeru Najib untuk memberikan penjelasan umum mengenai keadaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang mempunyai hutang lebih daripada $11 bilion dan disiasat bagi salah urus kewangan serta rasuah.

Lelaki yang menyelia siasatan parlimen ke dalam 1MDB, Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri baru semalam dan mengatakan dalam satu kenyataan bahawa dia akan meletak jawatan daripada jawatankuasa itu.

“Semua prosiding yang diatur untuk Ogos, termasuk 1MDB, akan ditangguhkan sehinggalah barisan baru PAC diumumkan pada sidang Dewan Rakyat seterusnya,” katanya. Ahli PAC tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam kabinet. Parlimen akan memilih ahli PAC baru dalam Oktober.

Muhyiddin Yassin melambai wartawan semasa sidang media hari ini, selepas beliau disingkirkan dalam rombakan kabinet semalam di Kuala Lumpur, Malaysia. – Reuters
Muhyiddin Yassin melambai wartawan semasa sidang media hari ini, selepas beliau disingkirkan dalam rombakan kabinet semalam di Kuala Lumpur, Malaysia. – Reuters

Ahli pembangkang PAC, Tan Seng Giaw mengatakan jawatankuasa itu seharusnya teruskan menyiasat sejajar dengan peraturan parlimen, menurut laporan media.

Najib menafikan mengambil sebarang wang bagi kegunaan peribadi, mengatakan tuduhan rasuah adalah sebahagian daripada kempen jahat untuk menyingkirkannya. 1MDB juga menafikan memindahkan dana kepada Najib dan satu laporan sementara kerajaan tidak menemui perkara yang mencurigakan.

Timbalan perdana menteri yang disingkirkan Muhyiddin Yassin mengadakan satu sidang media hari ini di tengah-tengah spekulasi bantahan terhadap Najib dalam kalangan ahli UMNO yang semakin meningkat.

Muhyiddin bagaimanapun positif, mengatakan beliau tidak akan terlibat dalam usaha yang boleh memecahbelahkan parti. Menurutnya, parti didahulukan dan beliau tidak merasakan kedudukannya sebagai timbalan presiden UMNO akan terancam.

“Saya sudah lama berada dalam parti. Meskipun saya tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, namun saya tidak akan mengabaikan tugas dalam parti. Saya akan meneruskan peranan saya sebagai timbalan presiden parti,” katanya memberitahu wartawan.

Ditanya jika beliau menyokong seruan pembangkang untuk undi tidak percaya terhadap Najib, Muhyiddin mengatakan beliau akan kekal bersama parti.

“Semua ini adalah hipotesis sahaja. Kita akan tunggu. Sebagai ahli parti yang bertanggungjawab, saya akan membuat keputusan berdasarkan proses parlimen.

ARTIKEL YANG SAMA