Siasatan 1MDB telah selesai

Siasatan 1MDB telah selesai

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyelesaikan siasatan berhubung transaksi oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan laporan berserta cadangan untuk tindakan bersesuaian sudah dihantar kepada Peguam Negara awal minggu ini, kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata siasatan itu bermula Jun lalu.

“Bank Negara (juga) berkongsi semua maklumat yang kami ada berkaitan sebarang akaun dengan pihak berkuasa berkaitan memandangkan kami bukan pihak penguat kuasa bagi sebarang salah laku.

“Maklumat yang dimiliki oleh BNM berhubung 1MDB disalur oleh bank-bank tempatan dan juga rakan asing kami,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia, di sini hari ini.

Gabenor itu juga berkata bank pusat sedang menyiasat dakwaan yang dibuat terhadap beliau dan Bank Negara berhubung 1MDB.

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ketika berucap mengenai siasatan 1MDB. – Reuters
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ketika berucap mengenai siasatan 1MDB. – Reuters

“Semua dakwaan terhadap saya secara peribadi dan juga bank adalah tidak benar. Kebanyakan dakwaan ini dibuat oleh pihak tidak dikenali.

“Kami akan kenal pasti siapa mereka dan mengambil tindakan undang-undang seterusnya terhadap mereka. Kami boleh agak dan ada petunjuk susulan tentang siapa mereka, namun setakat ini nama tidak diketahui,” katanya.

Zeti juga berkata tujuh eksekutif Bank Negara telah disoal siasat oleh polis berhubung kebocoran maklumat.

Ditanya sama ada beliau disoal siasat oleh polis, Zeti berkata: “Belum lagi. Saya baru sahaja kembali daripada perjalanan yang agak jauh. Saya berada di Amerika Syarikat dan saya baru sahaja balik dua hari lepas.”

Kepada soalan mengenai sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun tertentu, Zeti berkata: “Perkara itu di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa lain.”

Mengulas kedudukan Bank Negara berhubung transaksi besar membabitkan akaun perseorangan, Zeti berkata menjadi tanggungjawab institusi kewangan tempatan untuk mengambil langkah sewajarnya jika keadaan memerlukan.

“Jika mereka mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, mereka akan membuat Laporan Transaksi Mencurigakan (STR). STR itu akan diserah kepada kami,” katanya.

Ditanya lebih lanjut sama ada laporan sedemikian ada dibuat atau tidak, beliau berkata:”Kami sedang menyiasat berhubung pematuhan keperluan oleh institusi kewangan.” – Bernama