Siasatan aktivis hilang cuma ‘sandiwara’

Siasatan aktivis hilang cuma ‘sandiwara’

BANGKOK, 14 Dis (AFP) – Penyiasatan ke atas kehilangan seorang aktivis Laos, Sombath Somphone tiga tahun lepas adalah “satu sandiwara” dan mempunyai kesan menakutkan ke atas masyarakat awam, menurut kumpulan hak asasi manusia hari ini.

Sombath, aktivis yang memenangi anugerah bagi pembangunan mapan, tiba-tiba hilang di sekitar bandar Vientiane selepas dipercayai dilarikan ketika di pusat pemeriksaan polis pada petang 15 Disember 2012.

Kamera CCTV di ibu negara Laos merakam insiden bagaimana jip beliau dihentikan di pusat pemeriksaan sebelum beliau diarah menaiki sebuah kenderaan lain yang tidak dikenali.

Kes beliau menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa di Laos, sebuah negara yang diperintah kerajaan komunis.

Ia turut meningkatkan isu bebas daripada hukuman bagi kepentingan negara dan perniagaan yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan atau kes “kehilangan” para aktivis di seluruh rantau berkenaan.

Gambar fail menunjukkan Sombath Somphone (kanan) merakam gambar kenangan bersama isterinya ketika percutian mereka.
Gambar fail menunjukkan Sombath Somphone (kanan) merakam gambar kenangan bersama isterinya ketika percutian mereka.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh pihak berkuasa tempatan gagal menjalankan penyiasatan dan turut menyembunyikan maklumat.

“Siasatan rasmi setakat ini merupakan satu sandiwara. Ia suatu gurauan yang buruk,” Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch Asia, memberitahu wartawan di Thailand.

Sikap acuh tak acuh mempunyai kesan menakutkan ke atas kumpulan aktivis dan masyarakat awam, tambahnya ketika bercakap pada sidang media sempena ulang tahun kehilangan Sombath.

“Mesej kepada rakyat Laos daripada kerajaan mereka ialah: kami boleh bertindak ke atas sesiapa pada bila-bila masa, jadi sila tutup mulut, duduk dan buat apa yang kami arahkan,” kata Robertson.

Rakaman baru CCTV yang peroleh keluarga Sombath menunjukkan jip miliknya – yang tidak pernah ditemui selepas itu – dipandu ke arah bertentangan berbanding tanggapan sebelumnya.