Siasatan Australia bukti rasuah berleluasa

Siasatan Australia bukti rasuah berleluasa

SYDNEY, 30 Dis – Satu siasatan Australia ke atas kes rasuah kesatuan perniagaan hari ini melaporkan salah laku ‘berleluasa’ dan telah ‘berakar-umbi’, dengan Perdana Menteri Malcolm Turnbull menggesa pembaharuan dan penubuhan sebuah badan pengatur bebas.

Gabungan Liberal-Nasional melancarkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan rasuah dalam kalangan kesatuan perniagaan terkemuka hampir dua tahun lalu, meskipun kritikan ia sedang digunakan untuk melancarkan usaha pemburuan.

Ahli politik terkenal daripada parti pembangkang Buruh telah disoal, termasuk bekas perdana menteri Australia Julia Gillard dan pemimpin Buruh sekarang Bill Shorten, bekas ketua kesatuan.

“Ia bukan kes disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga,” beritahu Turnbull kepada wartawan selepas laporan dikeluarkan hari ini, menambah kerajan mempunyai komitmen yang ‘kukuh’ untuk melaksanakan pembaharuan.

“Terdapat ramai pegawai kesatuan dan budaya tidak senonoh dan penyelewengan seperti yang disebut dalam laporan.” Turnbull berkata satu rang undang-undang untuk menubuhkan satu badan pengawas bebas untuk kesatuan akan diperkukuhkan, sementara pasukan petugas polis yang dikaitkan dengan siasatan akan diberikan lebih banyak pembiayaan.

Bekas hakim Mahkamah Tinggi dan pengerusi suruhanjaya Dyson Heydon berkata beliau mendapati ‘salah laku berleluasa’ ketika siasatan dilakukan dan ‘adalah amat naif untuk memikirkan bahawa apa yang telah terbongkar merupakan sebahagian kecil daripada keadaan yang sebenarnya’.

Beliau mencadangkan pengawas bebas ditubuhkan untuk menyiasat pentadbiran dan kewangan kesatuan dan merujuk beberapa bekas pegawai – tetapi bukan Shorten atau Gillard, yang memberikan nasihat guaman kepada kesatuan apabila beliau menjadi seorang peguam – kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan mengatakan mereka mungkin telah melanggar undang-undang. – AFP