Siasatan punca nahas dilancarkan

KATHMANDU, Nepal, 13 Mac – Satu nahas kapal terbang di lapangan terbang utama Nepal membunuh 49 daripada 71 penumpang, kata polis hari ini, tatkala satu siasatan dilancarkan untuk menyiasat punca kemalangan yang berlaku selepas timbulnya kekeliruan berhubung arahan pendaratan.

Penerbangan BS211 AS-Bangla Airlines dari Dhaka ke Kathmandu membawa 67 penumpang dan empat anggota kru.

Dalam satu rakaman yang disiarkan oleh laman web pengawasan lalu lintas udara liveatc.net, juruterbang meminta kebenaran untuk mendarat dari utara, yang diluluskan oleh pengawal lalu lintas udara.

Satu perbualan berasingan di antara menara dan juruterbang Nepal menambah kepada kekeliruan di antara pengawal dan juruterbang kapal terbang Bangladesh sebelum terhempas.

Sejurus sebelum mendarat, juruterbang bertanya, “Adakah kami dibenarkan mendarat?”

Anggota penyelamat Nepal ketika menjalankan tugas selepas pesawat penumpang dari Bangladesh terhempas di Kathmandu Nepal pada Isnin lalu. – AP

Tidak lama kemudian, pengawal menjawab, menggunakan nada panik yang jarang didengar dalam perbualan sedemikian, dan memberitahu juruterbang, “Saya berkata sekali lagi, pusing!”

Beberapa saat kemudian, pengawal mengarah trak bomba memasuki landasan.

Pegawai Kathmandu dan syarikat penerbangan saling bertuduhan sesama sendiri atas kemalangan tersebut.

Pengurus besar lapangan terbang memberitahu wartawan semalam bahawa juruterbang tidak mematuhi arahan menara kawalan dan menghampiri satu-satunya landasan lapangan terbang dari arah yang salah.

“Kapal terbang tidak diselaraskan dengan betul dengan landasan. Menara berkali-kali bertanya sama ada jurutebang tidak apa-apa dan jawapan adalah “Ya,’” kata pengurus besar Raj Kumar Chetri. – AP