Siasatan secara menyeluruh

Siasatan secara menyeluruh

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) – Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan siasatan mengenai kes penemuan kubur dan kem pemerdagangan manusia akan dibuat secara menyeluruh, tanpa mengira pangkat.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata siasatan tidak hanya tertumpu kepada penglibatan anggota polis malah renjer hutan.

“Saya tak kira siapa dia, apa pangkat dia, asalkan ada bukti-bukti yang menunjukkan penglibatan mereka dalam penyeludupan manusia ke dalam Malaysia, kita (kerajaan) akan ambil tindakan.

“Tidak ada benda yang kita selindungkan…saya juga telah minta pegawai yang menyelidik ini dari Bukit Aman yang kita boleh harapkan, bersama dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya ketika menggulung usul mengenai penemuan kawasan perkuburan besar di Perlis.

Usul itu dikemukakan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Alor Setar) yang antaranya ingin mengetahui bagaimana kem pemerdagangan dan kubur berkenaan baru ditemui tanpa pengetahuan kerajaan selama ini.

Wan Junaidi berkata polis telah mengambil langkah awal selepas menerima maklumat berhubung cubaan menyeludup masuk pendatang secara besar-besaran terutama dari Myanmar ke Malaysia melalui perairan dan daratan khususnya dari kawasan utara negara.

Beliau berkata polis telah mengadakan tiga operasi khas dikenali Ops Pintas yang bermula pada Januari 2014 dan berjaya menahan seramai 290 pendatang tanpa izin selain 43 anggota sindiket yang terdiri daripada ejen, tekong atau ‘transporter’ (pengangkut) melibatkan warga Malaysia dan warganegara asing.

“Hasil operasi telah menyebabkan migran yang berada di sempadan gagal bolos masuk dan terpaksa berlindung di khemah-khemah sementara yang dibina oleh sindiket dalam hutan di sempadan untuk menunggu peluang seludup masuk ke dalam negara,” katanya.

Katanya polis turut menahan empat anggotanya yang disyaki terlibat dengan sindiket terbabit selain lapan lagi anggota polis ditahan oleh pihak SPRM.

Mengenai bagaimana pihak berkuasa tidak dapat mengesan khemah tersebut dengan lebih awal, Wan Junaidi berkata kedudukan khemah yang terletak di kawasan bukit yang curam dan sukar dikesan antara faktor utama petempatan itu gagal dikesan lebih awal.

“Keadaan bentuk muka bumi begitu rupa dan kawasan terpencil, pihak berkuasa tidak menjangka terdapat sebarang aktiviti manusia di kawasan berkenaan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Wan Junaidi menafikan dakwaan bahawa pelarian yang ditahan di kem Belantek di Sik, Kedah tidak mendapat layanan serta bekalan makanan yang secukupnya.

“Esok saya akan melawat sendiri dan membawa bekalan makanan yang bernilai lebih RM60,000 hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Malaysia yang prihatin dan peka dengan orang dalam tahanan,” katanya.

Katanya pada masa ini kerajaan masih dalam proses mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi mendirikan khemah untuk menempatkan pelarian yang ditahan agar mereka lebih selesa berbanding situasi di kem Belantek.