Sibu tempat ideal pamer pembangunan auto

Sibu tempat ideal pamer pembangunan auto

SIBU, 31 Julai (Bernama) – Sibu adalah tempat yang ideal untuk menganjur pameran dagangan dan pembangunan teknologi dalam bidang jentera berat serta automobil, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Wong berkata, bandar itu terletak di wilayah tengah Sarawak, dikelilingi kawasan yang telah dibuka untuk tujuan pertanian serta perindustrian.

“Sibu berada di kawasan strategik dan kita mempunyai pedalaman yang besar daripada Samalaju di utara ke Tanjung Manis di selatan.

“Tanah itu dibuka dengan pesat untuk perladangan lebih luas serta untuk tujuan pertanian lain,” katanya di majlis pembukaan Sibu Tradex 2015 di Dataran Bandar Sibu Fasa II, malam tadi.

Wong berkata, Sibu Tradex 2015, telah diadakan lapan tahun berturut-turut, perlu dianjurkan dua kali setahun.

Ia adalah platform untuk mempamerkan usahawan tempatan, perniagaan, artis dan bakat berpotensi, vendor daripada kelengkapan berat, pusat 3s, bank, telekomunikasi, peruncit, makanan dan minuman, barangan dan kraf tangan.

Ia adalah acara sampingan Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2015, yang diadakan bermula semalam dan berakhir pada 8 Ogos 2015 di mana 81 vendor mengambil bahagian.

Wong berkata, BCF adalah ekspresi semua komuniti yang bekerjasama dengan latar belakang kebudayaan dan agama yang berbeza.

“Kita berada di sini untuk menggalak persefahaman di kalangan pelbagai komuniti agar kita boleh membina perpaduan dan semangat sosial bagi menggerakkan Sibu ke depan,” katanya.

BCF yang menyajikan makanan, muzik, tarian daripada pelbagai budaya masyarakat Sibu seperti Dayak, Melayu/Melanau dan China itu dianjurkan Majlis Perbandaran Sibu.