SIC mahu tarik 130,000 peminat MotoGP

SIC mahu tarik 130,000 peminat MotoGP

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) – Bersempena sambutan ke-25 tahun, Grand Prix Motosikal Malaysia tahun ini bakal menjadi perlumbaan terbaik dan terbesar pada ketika Sepang International Circuit (SIC) menyasarkan rekod jumlah penonton seramai 130,000 orang.

“Ini adalah tahun yang sangat istimewa untuk MotoGP Malaysia yang akan menyambut ulang tahun ke-25.

“MotoGP Malaysia yang diadakan dari 23 hingga 25 Okt akan terus memberikan keseronokan kepada peminat dan ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah penonton secara konsisten setiap tahun.

“Sejak lima tahun terakhir, kami mencatatkan kehadiran lebih daripada 120,000 orang sepanjang tiga hari perlumbaan iaitu dari tahun 2010 hingga 2014.

“Tahun ini, peminat boleh menjangkakan beberapa aktiviti menarik bersempena sambutan jubli perak perlumbaan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali pada majlis pelancaran rasmi Grand Prix Motosikal Malaysia, di sini Selasa. Beliau berkata, tiket bagi perlumbaan tahun lepas habis dijual seminggu sebelum acara itu dilangsungkan.

“Acara antarabangsa seperti MotoGP memerlukan sokongan penonton tempatan. Sejak lima tahun terakhir, 80 peratus penonton adalah peminat tempatan.

“Kami juga berjaya menarik penonton dari negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia. Sehingga minggu lepas, kami sudah menjual 8,000 pakej di Indonesia.

“Berikutan penurunan nilai mata wang negara, ia semakin menarik minat penonton dari negara jiran serta dari Australia dan Eropah. Kami perlu mengambil peluang ini walaupun terpaksa berbelanja untuk melakukan promosi,” kata Razlan.

ARTIKEL YANG SAMA